LONDON: Hanya sehari selepas dipecat oleh Bayern Munich, Julian Nagelsmann mungkin mendapat kerja baharu apabila dirisik kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Tottenham.
Pengendali berusia 35 tahun itu hanya mengetahui dia dipecat ketika sedang bercuti di Austria dan bekas pasukannya sudah pun mengumumkan Thomas Tuchel sebagai pengganti.
Tindakan Bayern membuka peluang buat pengerusi Tottenham, Daniel Levy untuk memulakan rundingan dengan Nagelsmann bagi menggantikan Antonio Conte.
Tottenham sudah lama berminat dengan Nagelsmann yang pernah mengendalikan RB Leipzig dan Hoffenheim, malah hampir menyunting jurulatih kelahiran Jerman itu pada 2021.
Nagelsmann dikatakan turut meminati Tottenham dan memiliki jersi kelab London itu.
Tottenham percaya Nagelsmann adalah calon sesuai untuk pasukan, dan mampu menawarkan corak serangan yang dimahukan peminat.
Sementara itu, Conte yang kini berada di Itali berada dalam kecelaruan mengenai nasibnya bersama Tottenham.
Sehingga kini, Conte belum dilepaskan, dan ketika ini Ryan Mason serta Cristian Stellini mengambil alih tugas mengendalikan sesi latihan pasukan.
Situasi semakin kelam buat Tottenham yang akan berentap dengan Everton dalam aksi liga minggu hadapan. – AGENSI