Tidak boleh banyak merungut- Steinbruckner

Tidak boleh banyak merungut- Steinbruckner

PEMAIN tengah Terengganu, Liridon Krasniqi diasak pertahanan Kedah, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman,kelmarin. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menganggap pasukannya wajar mendapat keputusan yang lebih baik berbanding tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, kelmarin.

Melihat keseluruhan permainan katanya, Terengganu sepatutnya mampu untuk setidak-tidaknya seri dengan Kedah, namun satu kesilapan membunuh harapan mereka untuk bangkit setelah tewas dalam perlawanan pertama menentang JDT, minggu lalu.

Katanya, dia sememangnya kecewa dengan cara kekalahan itu berlaku kerana gol dihasilkan pasukan lawan di minit terakhir akibat kesilapan sendiri.

“Sudah tentu apabila kita tewas kepada pasukan lawan akibat gol di minit ke-90, kita akan rasa kecewa tetapi saya tidak boleh terlalu banyak merungut mengenai aksi pasukan malam ini.

“Hanya satu kesilapan teruk dan itu menyebabkan Kedah memenangi aksi ini. Kedua-dua pasukan beraksi baik tetapi kami kalah hanya kerana satu kesilapan,” katanya.

Dalam perlawanan itu, Kedah mencatat kemenangan 1-0 setelah Fadzrul Danel Nizam memanfaatkan peluang terhidang akibat kesilapan berpunca daripada pemain import Terengganu, Domagoj Pusic.

Ditanya apa yang tidak cukup dilakukan pasukannya untuk memenangi perlawanan itu, pengendali dari Croatia tersebut merasakan anak-anak buahnya perlu membuat hantaran lebih berkualiti ketika menyerang terutamanya di kawasan kotak penalti lawan.

“Kadang-kadang mereka macam kurang bernafsu untuk melakukan serangan ketika kami perlukan hantaran lebih baik ke dalam dan sekeliling kotak penalti. Tetapi perkara itu bukan mudah kerana kita bercakap tentang kualiti pemain.

“Tewas dalam dua perlawanan awal termasuk kekalahan di minit akhir seperti ini sudah tentu menjejaskan moral tetapi saya percaya pemain kami cukup profesional untuk bangkit kembali.

“Kami menentang dua pasukan terbaik liga di peringkat awal dan apa yang berlaku bukanlah menjelaskan situasi sebenar pasukan yang kami ada ketika ini,” jelasnya.

Tambahnya, ketika ini pasukannya amat ‘merindui’ aksi pemain tengah dari Bahrain, Habib Haroon yang mengalami kecederaan hamstring dan tidak dapat diturunkan dalam dua perlawanan awal.

“Mengenai Liridon Krasniqi pula, saya berpuas hati dengan aksi ditampilkannya kerana dia memberi dimensi baru kepada bahagian tengah.

“Sebelum ini dia terlepas aksi persahabatan tetapi Liridon tetap berlatih bersama jurulatih kecergasana dalam tempoh dua atau tiga bulan terakhir sebelum tampil dalam perlawanan ini,” katanya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN