Tiada sentimental, Nafuzi anggap bertemu Terengganu istimewa

Tiada sentimental, Nafuzi anggap bertemu Terengganu istimewa

NAFUZI ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tanpa mahu mengimbau kembali segala drama atau krisis yang berlaku musim lalu, pengendali Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain menganggap perlawanan antara Sang Kenari dengan Terengganu FC di Stadium Darul Aman malam ini sesuatu yang istimewa.

Menurut Nafuzi, Terengganu sebelum ini sudah dianggap sebagai rumah keduanya lebih-lebih lagi setelah bertahun-tahun memulakan karier kejurulatihannya di negeri itu.

Begitu pun katanya, itu bukan alasan untuk tidak mempersiap pasukan bagi meraih tiga mata seterusnya dan beliau bersedia mempertaruhkan barisan terbaik bagi menghadiahkan kemenangan buat penyokong dalam aksi pertama di ‘sarang’ sendiri musim ini.

“Namun saya sedar kita tidak akan diberi laluan mudah untuk capai kemenangan itu. Secara peribadi saya anggap perlawanan ini cukup istimewa kerana saya amat rapat dengan ketua jurulatih mereka, Tomislav Steinbruckner manakala pemain-pemain tempatan Terengganu juga bertahun-tahun dilatih saya sebelum ini.

“Jadi saya tahu mereka akan semangat melawan kami apatah lagi setelah tewas perlawanan pertama menentang JDT. Sejujurnya saya merasakan mereka memiliki kelebihan dari segi fizikal dan disebabkan itu kami perlu berhati-hati dalam situasi bola tinggi dan ‘set-piece’.

“Tetapi saya percaya dengan kemampuan yang ada pada pemain kita. Paling penting kami perlu fokus sejak minit pertama permainan kerana kami tak mahu hampakan penyokong serta pengurusan pasukan dalam aksi pertama di laman sendiri musim ini,” katanya.

Nafuzi menambah, beliau secara peribadi merasakan Terengganu merupakan antara pasukan terbaik yang perlu diberi perhatian musim ini.

“Berbanding ketika saya bersama dulu, pemain-pemain tempatan mereka juga sudah semakin matang dan berpengalaman hingga turut dipanggil mewakili negara termasuk bagi skuad bawah 23 tahun.

“Tetapi kita juga ada kelebihan sendiri dan saya gembira kerana kita memiliki senarai empat penjaring berbeza untuk perlawanan pertama menentang Perak tempoh hari. Ini mampu menjadi pemangkin semangat buat mereka untuk menghasilkan lebih banyak gol dalam perlawanan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu tonggak tengah KDA FC, Lee Tuck berkata, ‘permulaan sempurna’ pasukan itu dalam perlawanan pertama liga di Ipoh, Perak Sabtu lalu sememangnya menghadirkan keterujaan kepada seluruh pasukan untuk menghasilkan keputusan terbaik dalam perlawanan-perlawanan selepas ini.

“Namun perjalanan masih panjang dan saya percaya kami mampu bermain lebih baik. Kami yakin untuk berdepan perlawanan kedua ini dan tak sabar memulakan aksi di Stadium Darul Aman.

“Dalam kalangan pemain dan barisan kejurulatihan, kami banyak bercakap mengenai suasana hebat ditampilkan penyokong musim ini. Ini tempat yang hebat untuk kami menjalani kehidupan serta bermain bola sepak kerana suasana ‘fantastik’ dihasilkan penyokong dan kami akan berusaha menyajikan permainan menarik malam esok,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya