Serangan tumpul punca Hong Kong rebah

Serangan tumpul punca Hong Kong rebah

JORN Andersen terpaksa akur Hong Kong kalah lagi kepada Malaysia dalam aksi persahabatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Hong Kong, Joern Andersen tampak sukar menerima kekalahan 0-2 di tangan Harimau Malaya pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Ini merupakan kekalahan kedua pasukan bimbingannya kepada skuad negara dengan jaringan yang sama pada Jun tahun lalu.

Andersen menegaskan keputusan perlawanan akan berbeza sekiranya pasukan Hong Kong terlebih dahulu membuka jaringan dan pasukan Malaysia terpaksa bekerja keras untuk mencipta jaringan.

Katanya, ketiadaan beberapa pemain utama yang tidak dilepaskan kelab masing-masing memandangkan liga di China masih berlangsung turut menyebabkan pasukan tidak berada pada tahap sebenar.

Walaupun tewas, pengendali kelahiran Norway itu turut memberikan pujian kepada barisan pemainnya yang sudah memberikan yang terbaik pada perlawanan itu dan berupaya menyaingi kekuatan Harimau Malaya.

“Walaupun tewas, saya berpuas hati dengan corak permainan yang dipamerkan. Pada perlawanan itu, kami memperoleh enam atau tujuh peluang, namun tidak berupaya memanfaatkan peluang tersebut, saya percaya ini menjadi proses pembelajaran buat kami.

“Memandangkan kami yang bolos lebih awal terpaksa bekerja keras untuk mencari gol penyamaan, manakala pasukan Malaysia menunggu peluang melakukan serangan balas, itu boleh difahami kerana kerap berlaku dalam bola sepak.

“Secara keseluruhan, kami berupaya memberi saingan sengit kepada lawan dan saya merasakan keputusan perlawanan akan berbeza jika kami mampu memperoleh gol awal,” katanya.

PENYERANG negara, Darren Lok cuba menanduk bola walaupun diasak pertahanan Hong Kong pada perlawanan persahabatan menentang di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam tadi. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Tambahnya, sejak dikendalikan ketua jurulatih, Kim Pan Gon, bukan tugas mudah untuk mana-mana pasukan meraih kemenangan ketika bertandang ke Malaysia.

Andersen mengakui dapat melihat perubahan dalam pasukan bagi dua pertemuan terdahulu menentang Malaysia dan percaya skuad itu berpotensi menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Malah beliau berharap pasukan Harimau Malaya sudi berentap sekali lagi pada September ini, dengan perlawanan diadakan di gelanggang Hong Kong.

“Kami sudah dua kali bertandang ke Malaysia, jadi apa salahnya kami pula menjadi tuan rumah menjemput mereka ke Hong Kong untuk perlawanan persahabatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya