Selangor turunkan pasukan terkuat jumpa Penang FC

Selangor turunkan pasukan terkuat jumpa Penang FC

PEMAIN Selangor menjalani latihan kecergasan di gimnasium kelmarin dalam persiapan menghadapi Penang FC di Stadium Bandaraya hari ini. – IHSAN SELANGOR FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe dijangka mengekalkan kesebelasan utama ketika seri 1-1 dengan Sri Pahang, Ahad lalu dalam misi mengekalkan rekod tanpa kalah apabila berdepan Penang FC pada aksi Liga Super di tempat lawan hari ini.

Kata Cheng Hoe, Red Giants perlu menampilkan aksi terbaik di Stadium Bandaraya untuk mengutip tiga mata kerana Harimau Kumbang mampu memberi ancaman, terutama selepas mengejutkan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Piala FA, Rabu lalu.

Kedah yang dianggap antara pilihan untuk mencabar Piala FA diikat 2-2 oleh Harimau Kumbang sebelum tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti 4-3 di Darul Aman.

Selangor pula belum kalah dalam tiga perlawanan selepas menang 1-0 ke atas Kelantan United dan membelasah Ku­ching City 5-0.

PEMAIN Penang FC meraikan kemenangan ke atas Kedah dalam perlawanan Piala FA di Stadium Darul Aman. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

“Kita turun dengan misi memburu kemenangan dan mengutip mata penuh, namun pemain perlu berhati-hati kerana Penang akan beraksi dengan motivasi tinggi selepas menewaskan KDA FC dalam Piala FA.

“Mereka juga sedang mencari kemenangan pertama Liga Super, jadi saya jangkakan kami akan menerima tentangan sengit kali ini.

“Semua pemain kesebelasan utama dan simpanan menunjukkan komitmen tinggi.

“Saya jangkakan tiada perubahan kesebelasan utama dan pemain juga bebas daripada kecederaan, namun kita perlu tunggu sehingga saat-saat akhir untuk buat keputusan.

“Apa yang penting ialah para pemain yang diturunkan nanti kena ada semangat bermain untuk menang dan dapatkan keputusan positif untuk pasukan bagi mengelak keciciran mata,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

AKSI Faisal Halim (kanan) ketika membantu Selangor menentang Kelantan United dalam aksi pembukaan Liga Super 2023. 

Ketika ditanya tentang harapan terhadap Faisal Abdul Halim yang sehingga kini masih gagal menjaringkan gol, Cheng Hoe berkata, dia tidak mahu meletakkan tekanan terhadap pemain sayapnya itu walaupun tahu Faisal sedang berusaha ke arah itu.

“Dia akan turun beraksi di negeri kelahirannya, namun, saya tidak mahu beri dia tekanan. Apa yang penting ialah beri sumbangan terbaik kepada pasukan dengan melakukan umpanan menarik. Itu petanda yang baik untuk dirinya dan pasukan,” katanya.

Selain turun dalam ‘mood’ yang baik selepas layak ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA, Penang FC juga turun dengan rekod selesa pernah menewaskan Selangor FC 2-1 dalam aksi final Piala Harapan 2023 pada awal bulan lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya