Penyu raih kemenangan sulung, tewaskan PDRM FC 1-0

Penyu raih kemenangan sulung, tewaskan PDRM FC 1-0

PEMAIN TFC, Sardav Kulmatov (tiga, kanan) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama rakan pasukan ketika bertemu PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. - UTUSAN/PUTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) meraih kemenangan sulung dalam Liga Super apabila menang tipis 1-0 ke atas PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, sebentar tadi.

Kemenangan itu dibantu jaringan tunggal bek tengah, Sardor Kulmatov pada hujung babak kedua sekaligus membawa TFC naik dari tangga tercorot ke tempat keenam dengan empat mata.

Awal permainan berlangsung seimbang dengan tandukan penyerang TFC, Jordan Mintah pada minit ke-14 dan pemain PDRM, Aliff Najmi Shaaini minit ke-24 mencemaskan pintu gol masing-masing.

Peluang terbaik TFC hadir melalui rembatan padu Mintah dari dalam kotak penalti namun ditepis keluar penjaga gol pelawat, Ramdhan Ab. Hamid pada minit ke-33.

Tuan rumah terus berputih mata setelah usaha Shahrul Nizam Roshasni (m-37) hasil sepakan sudut Sony Norde terkena palang ketika penjaga gol lawan sudah tertewas.

PDRM kekurangan seorang pemain dalam masa tambahan babak pertama susulan layangan kad merah ke atas Ramdhan gara-gara kekasaran terhadap Mintah di luar kotak penalti.

PEMAIN TFC, Jordan Mintah (tiga, kiri) melakukan percubaan ke gawang PDRM FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, malam ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI

Kelebihan itu cuba digunakan TFC melalui serangan menerusi percubaan leret Norde disusuli rembatan jarak jauh Habib yang dinafikan penjaga gol gantian PDRM FC, Willfred Jabun pada minit ke-73.

Empat minit kemudian, berpunca sepakan penjuru Hairiey Hakim Mamat, Kulmatov menyelamatkan maruah TFC apabila sentuhan terakhirnya menceriakan lebih 9,000 penyokong tuan rumah.

Tiada tambahan jaringan selepas itu dengan kedudukan 1-0 kekal sehingga wisel penamat untuk meredakan tekanan ketua jurulatih Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN