Penyingkiran Tottenham gugat masa depan Conte

Penyingkiran Tottenham gugat masa depan Conte

AC Milan menewaskan Tottenham dalam saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Masa depan Antonio Conte sebagai pengurus Tottenham dalam bahaya selepas kelab London itu tersingkir dari Liga Juara-Juara hari ini.

Tottenham mengharungi malam ‘ngeri’ apabila bukan sahaja gagal membolosi gawang AC Milan, malah menutup saingan dengan 10 pemain ketika diikat 0-0.

Spurs yang tewas 1-0 pada aksi pertama, pusingan 16 akhir gagal bangkit daripada kekalahan itu untuk tersingkir secara agregat 0-1.

Kepulangan Conte buat kali pertama sejak menjalani pembedahan pundi hempedu nyata gagal menaikkan semangat pemain Tottenham.

Pasukannya turut diejek penyokong sendiri sejurus tamat separuh masa pertama selepas gagal melancarkan sebarang percubaan sepanjang dalam tempoh 45 minit.

Pada sidang akhbar selepas perlawanan, Conte yang akan tamat kontrak pada hujung musim ini turut ditanya mengenai masa depannya bersama Spurs.

“Ini adalah soalan yang teruk malam ini. Saya agak letih kerana baru menjalani pembedahan.

“Saya terus bekerja, saya ada kontrak dengan Tottenham. Saya menghormati kontrak.

“Di penghujung musim, penilaian akan dibuat bersama kelab dalam keadaan tenang, saya akan berkata…Saya mempunyai kontrak yang akan tamat dan mari kita lihat bagaimana musim ini berakhir.

“Mungkin mereka boleh menghantar saya pergi lebih awal lagi. Mungkin jangkaan lebih tinggi dan mungkin kecewa,” kata jurulatih dari Itali itu.

Tottenham mempamer aksi lebih baik pada babak kedua, namun terus buntu untuk merobek gawang Milan, dan peluang terbaik mereka hadir menerusi percubaan Pierre-Emile Hojbjerg pada minit ke-64.

Hojbjerg kemudian cuba membangkitkan semangat penyokong di stadium, namun usahanya sia-sia.

Keadaan menjadi lebih buruk buat tuan rumah pada minit ke-78 apabila Cristian Romero dibuang padang kerana melakukan dua asakan bodoh terhadap pemain lawan.

Cubaan terakhir Tottenham untuk mencari gol hadir pada waktu kecederaan, namun sepakan rendah Harry Kane berjaya diselamatkan. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN