LONDON: Format siaran perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini terpaksa ditukar iaitu tanpa menggunakan hos, pakar atau pengulas di studio selepas Ian Wright, Alan Shearer serta beberapa nama besar lain bersatu menyokong Gary Lineker yang digantung oleh BBC.
Kelmarin, BBC mengumumkan Lineker tidak akan terlibat dalam siaran bola sepak Britain minggu ini selepas bekas penyerang England itu terlibat dalam perbalahan politik menerusi catatan di Twitter.
“Lineker tidak akan terlibat dalam siaran ‘Match of the Day’ sehingga kami mencapai persetujuan dan mengetahui kedudukan sebenar penggunaan media sosialnya,” kata BBC.
Bagaimanapun, tidak lama selepas kenyataan BBC itu, beberapa rakan penyampai dan sekerja Lineker menyatakan sokongan kepadanya.
Wright dan Shearer yang juga legenda bola sepak England sepatutnya tampil dalam siaran semalam, namun kedua-duanya memberitahu BBC mereka tidak akan muncul.
Selain itu, Micah Richards, Jermaine Jenas dan Alex Scott juga menyertai pasangan itu untuk menyokong Lineker sekali gus menyebabkan pilihan BBC untuk barisan alternatif menjadi semakin tipis.
Lineker dalam Twitter mengkritik dasar suaka baharu kerajaan United Kingdom (UK) dan membandingkan bahasa yang digunakan oleh ahli politik semasa dengan suara yang dinyatakan dalam Nazi Jerman. – AGENSI