PARIS: Bekas perancang utama Paris Saint-Germain (PSG), Pablo Sarabia mengkritik suasana bilik persalinan kelab kaya Perancis itu yang dibayangi pengaruh Lionel Messi, Kylian Mbappe dan Neymar.
Menggelar PSG sebagai kelab ‘individu’, Sarabia berkata, dia lebih rela beraksi dengan pasukan lain bagi merasai suasana ‘sepasukan’ yang kuat.
Sarabia menghabiskan tiga tahun di PSG sejak menyertai kelab itu dari Sevilla pada 2019 sebelum dipinjamkan kepada Sporting CP dan kini menyarung jersi Wolverhampton.
“Ia sangat menakjubkan dapat bermain dengan Messi, Mbappe dan Neymar, satu pengalaman yang sangat baik.
“Begitupun, bagi saya perkara paling utama adalah merasa penting dalam pasukan.
“Saya lebih suka berada dalam pasukan lain untuk merasai kebersamaan, semangat sepasukan, menjadi sebahagian daripadanya, bukan hanya dimonopoli sekumpulan individu,” katanya.

Mbappe, 24, menandatangani lanjutan kontrak tiga tahun dengan juara Ligue 1 itu yang akan mengekalkannya sehingga 2025.
Kontrak tersebut menjadikan ‘superstar’ Perancis itu antara penerima gaji tertinggi dengan 650,000 pound (RM3.54 juta) seminggu.
Messi, 35, pula dikhabarkan menerima gaji AS$41 juta (RM 184 juta) setahun, termasuk bonus.
Neymar, 31, kekal sebagai pemain termahal dunia selepas PSG menandatangani penyerang Brazil itu dari Barcelona dengan bayaran 199 juta euro (RM954 juta) pada 2017. – AGENSI