ALOR SETAR: Meskipun membuat persiapan rapi untuk berdepan apa jua situasi, Ketua Jurulatih Penang FC, Chong Yee Fatt mengakui, faktor tuah turut membantu pasukannya untuk menang ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melalui penentuan sepakan penalti dalam saingan Piala FA malam tadi.
Menurut Yee Fatt, perlawanan di Stadium Darul Aman itu sememangnya dikuasai KDA dan beliau gembira dengan kekuatan mental ditunjukkan anak-anak buahnya dalam menghadapi asakan pasukan lawan.
“Kami tewas di Kelantan, Ahad lalu dan selepas perlawanan itu, moral pemain memang jatuh. Apatah lagi kami terus mengharungi perjalanan panjang dari Kelantan ke Kedah untuk berdepan mereka di Alor Setar.
“Tetapi saya gembira melihat para pemain berjaya bangkit. Piala FA ini pusingan kalah mati, jadi ia lebih kepada ketahanan mental dan kami berjaya menunjukkan betapa kuatnya kami dalam menghadapi semua ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan itu.
Penentuan sepakan penalti menyaksikan penjaga gol Penang, Shafiq Afifi Suhaimi menghalang sepakan diambil Lee Tuck dan Bojan Ciger sekali gus menghampakan lebih 13,000 penyokong KDA yang menyaksikan pasukan mereka tewas 4-3.
Tambah Yee Fatt, strategi pasukannya untuk bermain secara tertutup tanpa memberi terlalu banyak ruang kepada pemain lawan turut menjadi faktor mengapa Penang mampu mengikat KDA sepanjang 120 minit perlawanan berlangsung.
“Kami tahu cara KDA bermain dan untuk berdepan mereka, kami tidak boleh bermain secara terbuka. Tindakan sedemikian hanya menjadikan kami seolah-olah ‘membunuh diri’ di Darul Aman.
“Segalanya berbalik kepada pelan permainan. Apabila berdepan pasukan kuat seperti KDA dan berjaya membawa pulang kemenangan, sudah tentu itu sesuatu yang sangat menggembirakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE