JOHOR BAHRU: Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan Gon berkata, suasana di Stadium Nasional Bukit Jalil amat luar setiap kali skuad kebangsaan beraksi, dan beliau berharap perkara sama ditunjukkan apabila Malaysia menentang Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) malam ini.
Beraksi pada pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa juga amat menguji bukan sahaja mental serta fizikal pemain Malaysia, malah kehadiran penyokong yang pasti mengutamakan ibadah sebelum memikirkan tentang bola sepak.
“Tahun lalu di Bukit Jalil, stadium penuh dengan peminat yang memberi sokongan kepada kami dan memberi ‘tenaga hebat’ untuk pasukan memenuhi sasaran (layak ke Piala Asia 2023).
“Esok (malam ini), kami mahu melihat sokongan penduduk Johor memenuhi stadium dan memberi sokongan. Ia akan mewujudkan persekitaran bagus, dan kami akan memberi persembahan terbaik,” kata Pan Gon dalam sidang akhbar semalam.

Pengendali dari Korea Selatan itu juga mahu pemain waspada dengan dendam yang mahu dilunaskan Turkmenistan, sembilan bulan selepas dimalukan 3-1 oleh Harimau Malaya dalam kelayakan Piala Asia.
“Strategi kami adalah menjemput satu pasukan dengan ranking lebih tinggi dan satu lagi setara. Ini penting untuk pemain belajar sesuatu, selain menguji kekuatan mereka.
“Kita menerima pelawaan Turkmenistan dan mungkin mereka bercita-cita untuk membalas dendam setelah dimalukan 1-3 pada aksi Kelayakan Piala Asia, Jun lalu.
“Mungkin mereka mahu membuktikan betapa mereka lebih baik daripada Malaysia, dalam masa sama kami sedia untuk membuktikan kepada mereka yang kami juga adalah pasukan yang lebih baik,” katanya.
Pan Gon berkata, misi utama Malaysia malam ini adalah membentuk pasukan terbaik, selain ingin melihat pendekatan taktikal yang konsisten dipamerkan.
Mengenai perlawanan yang diadakan pada bulan Ramadan, Pan Gon menjelaskan ia tidak menjejaskan persiapan pasukan khususnya bagi pemain yang menjalankan ibadah puasa.
“Pengambilan nutrisi yang baik perlu bagi pemain dan semuanya kami sudah sediakan untuk memastikan pemain tidak keletihan apabila beraksi di padang nanti, malah pemain juga bersikap posiitf dan bekerjasama dengan baik,” katanya.