AS beri restu Israel laksana hukum mati terhadap penduduk Palestin - Utusan Malaysia

AS beri restu Israel laksana hukum mati terhadap penduduk Palestin

GAMBAR fail penduduk Palestin memprotes tentera Israel menyekat pintu masuk ke kem pelarian Palestin Nur Shams, Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Amerika Syarikat (AS) menyatakan menghormati hak Israel untuk menetapkan undang-undangnya sendiri selepas Parlimen memperkenalkan hukuman mati bagi penduduk Palestin di Tebing Barat yang disabit kesalahan atas kes pembunuhan, langkah yang dikritik hebat oleh negara-negara Eropah dan kumpulan hak asasi.

AS merupakan satu-satunya negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang masih melaksanakan hukuman mati dan sekian lama menjadi penyokong diplomatik serta ketenteraan utama Israel.

“AS menghormati hak berdaulat Israel untuk menentukan undang-undangnya sendiri serta hukuman terhadap individu yang disabitkan atas kes keganasan. 

“Kami percaya sebarang langkah sedemikian akan dilaksanakan dengan perbicaraan yang adil dan menghormati semua jaminan serta perlindungan perbicaraan adil yang terpakai,” kata seorang jurucakap Jabatan Negara AS.

Undang-undang itu akan berkuat kuasa dalam masa 30 hari selepas diluluskan di Parlimen. Ia mendapat sokongan 62 ahli Parlimen, termasuk Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu walaupun 48 mengundi menentangnya dan seorang berkecuali.

Menteri Keselamatan Nasional dari sayap kanan, Itamar Ben Gvir mengetuai rang undang-undang ini dan sebelum pengundian memakai pin berbentuk tali gantung sebagai simbol sokongan.

Semasa perbahasan, ahli Parlimen pembangkang dan bekas Timbalan Pengarah Mossad, Ram Ben Barak turut meluahkan kemarahan terhadap undang-undang tersebut.

“Adakah anda faham apa maknanya apabila terdapat satu undang-undang untuk orang Arab di Tebing Barat dan undang-undang yang berbeza untuk orang awam yang menjadi tanggungjawab Israel? Ia menunjukkan Hamas telah mengalahkan kita. Mereka mengalahkan kita kerana kita telah kehilangan semua nilai kita,” katanya.

Majlis Eropah (EC) menyifatkan undang-undang ini sebagai kemunduran serius dan berisiko menghakis komitmen Israel terhadap prinsip demokrasi.

Beberapa minit selepas diluluskan, Persatuan Hak Sivil di Israel mengumumkan memfailkan petisyen ke Mahkamah Agung untuk mencabar undang-undang itu. – AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN