KL City kini rasmi milik Rinani

KL City kini rasmi milik Rinani

KHALID Abdul Samad (kiri) dan Azri Azerai pada majlis menandatangani perjanjian penjualan saham KLCFCdi Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Firma Perunding Kewangan, Rinani Group Berhad (Rinani) akhirnya memiliki pegangan majoriti kelab KL City FC (KLCFC), selepas menandatangani perjanjian penjualan saham dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), semalam.

Pengarah Rinani, Azri Azerai mengumumkan yang mereka kini telah pun meraih pegangan dalam kelab itu dan berjanji membawa prestasi skuad ke tahap yang lebih tinggi lagi.

“Kami akan menumpukan perhatian kepada kejurulatihan, pengambilan pemain dan pembangunan remaja serta kami juga menjanjikan pengalam serta penglibatan yang berbaloi kepada peminat untuk nilai wang mereka,” katanya.

Pada masa sama, Azri turut mengucapkan penghargaan kepada KLFA atas usaha mereka membina pasukan selama ini dan meneruskan kerja yang lebih baik termasuk meningkatkan pendapatan kelab sebagai pasukan yang mampan.

“Kami akan usaha mengadakan lebih banyak kerjasama korporat dan penajaan bagi kelab ini dari segi kewangan malah akan memastikan tahap latihan mampu membawa KL City ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam Menandatangani Perjanjian Penjualan Saham KLCFC, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sementara itu, Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad turut menyatakan harapannya agar pengambilalihan itu akan mendatangkan lebih banyak kejayaan kepada Rinani, KL City dan KLFA.

“Penswastaan kelab yang berlaku ini adalah demi kepentingan semua pihak yang terlibat dalam bola sepak profesional, untuk pemain, penyokong, penaja dan vendor yang berkait rapat dengan kita selama ini. Kita doakan tindakan ini akan membawa kejayaan bukan sahaja untuk kelab tetapi juga buat Rinani dan KLFA,” katanya.

Pemerolehan kepentingan majoriti oleh Rinani dalam KLFC selaras dengan arahan daripada FIFA, badan induk bola sepak antarabangsa dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) agar pasukan bola sepak kendalian kerajaan dikendalikan secara profesional oleh badan persendirian dan badan bebas. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN