LONDON: Malam penuh emosi buat Graham Potter melihat Chelsea mempamer kebangkitan daripada prestasi hambar dalam liga domestik apabila meraih tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara dengan menewaskan Borussia Dortmund semalam.
Blues bangkit daripada kekalahan 1-0 di Dortmund apabila melakar kemenangan 2-0 di Stamford Bridge, sekali gus mengecewakan kelab Jerman itu secara agregat 2-1.
Raheem Sterling meledak gol pembukaan dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, manakala di babak kedua, tuan rumah semakin selesa apabila pengadil, Danny Makkelie memberi sepakan penalti yang disempurnakan Kai Havertz pada minit ke 53.
Kemenangan itu amat penting buat masa depan Potter sebagai pengurus Chelsea kerana pasukannya hanya mencatat dua kemenangan daripada lapan aksi terakhir, termasuk menang tipis 1-0 ke atas Leeds dalam Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.
“Saya sendiri tidak pasti apa yang patut dirasai ketika ini kerana semuanya bercampur baur.
“Ia sangat tegang di hujung permainan tetapi pemain beraksi dengan menakjubkan. Saya amat gembira mereka meraih kemenangan ini.

“Keadaan cukup menakjubkan dalam bilik persalinan, kami telah melalui tempoh amat sukar dan kejohanan ini amat bermakna.
“Kami mahu mara ke pusingan seterusnya dan menjadi lapan pasukan terbaik, selebihnya bergantung kepada beberapa minggu mendatang,” kata Potter.
Havertz yang mengambil alih peranan pengambil sepakan penalti selepas pemergian Jorginho ke Arsenal mengakui gugup dengan tugasan itu.
Sepakan Havertz pada mulanya terkena tiang, namun pengadil mengarahkan sepakan penalti dilakukan semula selepas pemain Dortmund memasuki kawasan penalti lebih awal.
“Saya sedikit gementar mengambil sepakan kedua tapi saya berjaya melakukannya. Saya cuba menenangkan diri dan melihat ke arah penjaga gol terlebih dahulu, ia menjadi lebih mudah,” katanya. – AGENSI