ALOR SETAR: Layangan kad merah terhadap ketua pasukan, Manuel Ott dan Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Nafuzi Zain membantu PDRM FC melakar kejutan apabila mereka mencatat kemenangan 1-0 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.
Pasukan pelawat pada awalnya langsung tidak menampakkan tanda-tanda mereka akan menang apabila hanya melakukan satu percubaan tepat sepanjang babak pertama melalui rembatan deras pemain pertahanan, Muhamad Norfiqrie Abdul Talib dari jarak kira-kira 30 meter pada minit ke-3.
Bola tersebut bagaimanapun ditangkap kemas penjaga gawang KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang tampak lebih bersedia untuk merebahkan badan ke kiri.
Seakan ‘geram’ dengan ujian awal itu, Sang Kenari kemudian langsung tidak memberi peluang dan memulakan serangan bertali arus hingga bola jarang berlegar di kawasan mereka.
Penyerang dari Brazil, Willian Lira memulakan asakan pada minit ke-7 apabila memperdaya dua pertahanan lawan untuk merapati pintu gol The Cops namun percubaannya dari dalam kotak penalti tersasar ke kanan gawang.
Terdapat dua percubaan tepat dihasilkan Sang Kenari selepas itu melalui Muhammad Ariff Farhan Md. Isa dan Amirbek Juraboev pada minit ke-11 dan 15, namun kedua-duanya digagalkan penjaga gol PDRM FC, Mohamad Ramdhan Ab. Hamid.
Al-Hafiz Harun turut membuat percubaan pada minit ke-19, namun rembatan leretnya yang meluncur perlahan ke garisan gol selepas ditepis Mohamad Ramdhan, berjaya dikeluarkan pertahanan PDRM FC.
Memasuki babak kedua, PDRM lebih berani mengatur gerakan sehingga mereka berjaya membuat percubaan tepat pada minit ke-56 hasil sepakan percuma Fai Mahmoud Awad Saleh. Namun percubaan itu sekali lagi digagalkan Kalamullah yang melayangkan badannya ke kanan pintu gol untuk menepis keluar bola tersebut.
Hanya beberapa minit selepas itu, timbul kekecohan melibatkan pemain kedua-dua pasukan di kawasan berhampiran kotak penalti pelawat yang menyaksikan Ott dilayangkan kad merah oleh pengadil, Mohd. Azizan Saat Aiffin.
Melihat keadaan itu, Nafuzi menukar percaturan membawa masuk empat pemain gantian dan perancangan itu berjaya membantu KDA meneruskan penguasaan, tetapi tindakan pengadil pada minit ke-70 menjadi tumpuan apabila secara tiba-tiba melayangkan kad merah kepada Nafuzi.
Keadaan itu nyata memberi kesan terhadap persembahan KDA FC apabila mereka tiba-tiba dikejutkan oleh jaringan penyerang import PDRM FC, Bruno Suzuki yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti selepas berlaku keadaan kelam-kabut.