Harimau Malaya masih ada kelemahan

Harimau Malaya masih ada kelemahan

AKHYAR Rashid (kanan) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukan. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon enggan terlalu mendabik dada selepas berjaya menumpaskan Turkmenistan 1-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Pengendali Korea Selatan itu berkata, anak buahnya perlu mempertingkatkan corak permainan dalam masa sama mengekalkan tahap kecergasan memandangkan mereka bakal berdepan lawan yang jauh lebih kuat pada masa akan datang.

“Pada perlawanan itu, saya menuntut pemain supaya bermain dengan tempo tinggi dan banyak membuat larian, melakukan tekanan dan membuat hantaran pantas. Ia memerlukan disiplin yang tinggi serta ketahanan mental dan fizikal.

“Namun, ada juga yang tidak dapat ikut perancangan yang ditetapkan, jadi penting untuk mereka meningkatkan tahap kecergasan, ini bagi memastikan kita mampu bersaing pada tahap lebih tinggi.

“Apapun, saya harap perkara ini dapat diperbaiki. Saya faham saingan Liga Malaysia baru bermula, tambahan pula beraksi pada bulan puasa. Saya harap pasukan Malaysia berada pada tahap berbeza pada Jun atau September ini,” katanya.

Mengenai perlawanan menentang Turkmenistan malam tadi, Pan Gon berkata, mereka adalah pasukan yang berbeza ketika berdepan pada aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Katanya, skuad Turkmenistan itu dilihat membuat persiapan yang rapi setelah kerap mendatangkan masalah buat benteng pertahanan Harimau Malaya sepanjang perlawanan itu.

PERTAHANAN Malaysia, La’Vere Corbin Ong cuba melepasi penjaga gol Turkmenistan, Rasul Charyyev. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

“Ia perlawanan sukar bagi kami setelah lawan bermain corak permainan fizikal, namun pemain berjaya memberikan tentangan dan mencuri peluang untuk mencipta jaringan pada babak pertama.

“Kita juga banyak menjelmakan peluang jaringkan gol, namun kecekapan penjaga gol (Rasul Charyyev) menafikan beberapa peluang keemasan yang dimiliki. Sekiranya kita memperoleh satu lagi gol, ia mungkin menjadi perlawanan yang berbeza,” katanya.

Mengenai lapan muka baharu yang dipanggil kali ini, Pan Gon mengakui ada antara mereka yang masih belum dapat menyesuaikan diri dengan taktikal yang diterapkan, namun perlu diberikan masa dan bimbingan supaya mampu menjadi aset berguna bagi skuad Harimau Malaya pada masa akan datang.

“Kita faham apa yang dilalui pemain ini dan akan membantu mereka menyesuaikan diri dengan lebih cepat. Tempoh latihan lima hari tidak mencukupi untuk menilai kemampuan sebenar mereka,” katanya.

Pemain baharu yang mẹmbuat penampilan pertama malam tadi ialah Endrick Dos Santos, Paulo Josue, Feroz Baharuddin, Fayadh Zulkifli dan Nooa Laine. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya