Griezmann hanya ‘merajuk’ dua minit

Griezmann hanya ‘merajuk’ dua minit

KYLIAN Mbappe mendukung Antoine Griezmann ketika meraikan jaringan pemain itu dalam kelayakan Euro 2024 di antara Perancis dan Belanda di Stade de France, Saint-Denis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Pengendali Perancis, ­Didier Deschamps mendedahkan, kekecewaan Antoine Griezmann tidak mendapat lilitan kapten yang diberikan kepada Kylian Mbappe hanya bertahan selama dua minit.

‘Rajuk’ penyerang berusia 32 tahun itu berakhir selepas dia menerima umpanan daripada Mbappe untuk meledak gol pembukaan Perancis sebelum membantu Les Bleus membenam Belanda 4-0 pada aksi sulung Kumpulan B, kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2024.

Dalam perlawanan di Stade De France semalam, Mbappe turut meledak dua gol, manakala satu lagi jaringan tuan rumah disempurnakan oleh Dayot Upamecano.

“Mujurlah saya tidak begitu melayan laporan media. Ke­dua-dua pemain serasi, bekerja de­ngan baik dan mempunyai objektif sama untuk melihat Perancis memberi aksi terbaik.

“Kekecewaan Griezmann hanya bertahan dua minit. ­Tiada masalah sedikit pun, semua menunjukkan aura positif,” kata Deschamps.

Sebelum perlawanan, Griezmann yang kecewa tidak dipilih sebagai ketua pasukan dikatakan mempertimbangkan untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa.

Begitupun, Mbappe me­ngadakan pertemuan ‘hati ke hati’ dengan seniornya itu bagi menjernihkan keadaan dan tindakan penyerang Paris Saint-Germain tersebut mengurangkan suasana tidak harmoni.

Sementara itu, Deschamps turut gembira dengan aksi cemerlang penjaga gol, Mike Maignan yang membuat penampilan sulung ekoran persaraan ketua pasukan, Hugo Lloris.

Maignan menyelamatkan sepakan penalti Memphis Depay pada waktu kecederaan, selain beberapa percubaan bahaya lawan.

“Saya tidak tahu sama ada ia hari yang sempurna, namun ini malam yang sangat indah.

“Ini permulaan yang amat bagus. Kami menguasai permai­nan pada babak kedua, dan Maignan menyelamatkan penalti untuk mengakhiri malam dengan baik,” kata Deschamps. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya