Gol waktu kecederaan musnahkan skuad wanita negara

Gol waktu kecederaan musnahkan skuad wanita negara

AKSI pemain Malaysia (jersi kuning) ketika menentang Kemboja dalam Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Stadium Smart RSN, Phnom Penh, hari ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaringan Kemboja pada waktu kecederaan memusnahkan harapan skuad wanita bawah 20 tahun (B-20) untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Stadium Smart RSN, Phnom Penh, sebentar tadi.

Kekalahan 0-1 itu bermakna anak-anak buah Cameron Ng perlu menang sekurang-kurangnya 3-0 ke atas Myanmar dalam perlawanan kedua Kumpulan G, Ahad ini bagi menghidupkan peluang melayakkan diri ke pusingan kedua.

Myanmar sebelum ini menumpaskan Kemboja 2-0 dalam perlawanan pertama, bermakna pertemuan dengan Myanmar jauh lebih berliku buat skuad wanita negara.

Jaringan Tun Kimhong, empat minit memasuki waktu kecederaan menjadi pemusnah pasukan negara biarpun Malaysia juga memperoleh beberapa peluang terbaik.

Kimhong menghadiahkan gol kemenangan tuan rumah selepas menyudahkan hantaran lintang Heng Sovanmony.

Terdahulu, rembatan jauh Nurfarisya Hanim Muhamad Zaki menjadi peluang keemasan pertama diraih Malaysia B-20, namun tendangannya ditepis penjaga gol Kemboja, Cha Fariya pada minit ke-13.

Kemboja beroleh peluang menerusi sepakan percuma dari sudut yang baik pada minit ke-23 namun percubaan Somrit Nimol melewati palang disusuli beberapa lagi percubaan tidak tepat tuan rumah.

Fariya terus cemerlang apabila menepis keluar percubaan pemain negara, S. Thivashini untuk keputusan 0-0 kekal sehingga babak pertama berakhir.

Bersambung babak kedua, gerakan Toum Romdoul berjaya memperdayakan pertahanan negara pada minit ke-59, namun rembatan lemahnya mudah ditangkap penjaga gol negara, Daliea Eliesa.

Hanya lapan juara kumpulan akan meneruskan perjuangan ke pusingan kedua Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 yang dijadualkan berlangsung 3 hingga 11 Jun 2023.

Empat daripada lapan pasukan terbaik ini akan meraih tempat ke final di Uzbekistan, tahun hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN