Giliran Kelantan FC jadi mangsa 'amukan' JDT

Giliran Kelantan FC jadi mangsa ‘amukan’ JDT

PENYERANG JDT, Diogo Santo meraikan jaringannya ketika menentang Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Lima hari selepas membelasah Negeri Sembilan FC 7-0,  Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka terlalu kuat buat Kelantan FC apabila mudah menjinakkan The Red Warriors (TRW) 5-1 dalam aksi Liga Super, sebentar tadi.

Kemenangan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan terus gah di persada liga apabila memenangi  semua empat perlawanan dengan mengutip 12 mata dan meledak 17 gol.

Begitupun, Kelantan FC menjadi pasukan pertama yang berjaya membolosi gawang JDT yang sebelum ini gagal ditembusi tiga lawan terdahulu – Terengganu FC (menang 2-0), Kuala Lumpur City (3-0) dan Negeri Sembilan.

Ketiadaan mesin gol, Bergson Da Silva yang dibelenggu kecederaan tidak menjejaskan aksi juara liga sembilan kali itu berpesta gol di laman sendiri.

Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim di hadapan lebih 24,000 penonton, skuad kendalian Esteban Solari tidak menunggu lama untuk membuka jaringan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit kedua setelah Arif Aiman Hanapi dijatuhkan dalam kotak penalti.

Sepakan penalti yang diambil Fernando Forestieri berjaya dibaca penjaga gol, Nik Mohd. Amin Ahmad yang menepis sepakan itu, namun Diogo Luis Santo pantas menyambar bola muntah lalu menjaringkan gol.

PENYERANG JDT, Fernando Forestieri diasak pertahanan Kelantan FC, Muhamad Afzal Akbar . – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Berselang 10 minit kemudian, Diogo mengumpan bola kepada Forestieri namun sepakan diambil pemain kelahiran Argentina itu mencari penjuru kiri gawang jauh tersasar.

JDT akhirnya berjaya menambah jaringan berpunca hantaran silang Corbin Ong kepada Diogo yang mendada bola itu kepada Endrick Dos Santos bagi melepaskan rembatan deras menewaskan Nik Mohd. Amin pada minit ke-26.

Arif Aiman yang beraksi cemerlang di sayap kanan itu turut berhasrat memahat nama dalam senarai penjaring, namun percubaan pemain lincah itu berjaya dinafikan penjaga gol Kelantan FC.

Pada minit ke-35, JDT mengulangi skrip sama gol kedua apabila menjana serangan dimulakan Corbin kepada Diogo, cuma kali ini disudahkan oleh Forestieri untuk meletakkan JDT selesa mendahului.

Biarpun pasukan tuan rumah mendominasi permainan, skuad Choi Moon Sik turut cuba melancarkan serangan, namun tidak ada yang mampu diterjemahkan dengan baik.

Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah tidak menunjukkan tanda mahu memperlahankan permainan, sebaliknya terus buas memburu gol.

ARIF Aiman Hanapi (kiri) mengawal bola daripada dirampaspertahanan Kelantan FC, Muhammad Yusri Yuhasmadi. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JDT hampir menambah jaringan menerusi percubaan Arif Aiman Hanapi yang melakukan sepakan lambung melepasi Nik Mohd. Amin namun pertahanan Kelantan pantas membuang bola sebelum melepasi garisan gol.

Gol yang diburu Harimau Selatan muncul jua pada minit ke-55 menerusi rembatan deras Juan Muniz dari jarak 30 meter yang membuatkan penjaga gol hanya terpukau tidak berganjak.

Walaupun ketinggalan jauh, The Red Warriors enggan menyerahkan kalah apabila Moon Sik melakukan beberapa pertukaran bagi menyuntik kekuatan dalam memburu gol.

Serangan balas pasukan Kelantan dari sayap kanan membuahkan hasil setelah Ismaheel Akinade berjaya melepasi kawalan Feroz Baharudin melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum dijatuhkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

Leonardo Rolon yang dibawa masuk pada babak kedua tidak berdepan masalah menyempurnakan sepakan penalti untuk memberikan kegembiraan buat rakan sepasukan.

JDT sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti setelah Nazmi Faiz Mansor diterjah dalam kotak penalti pada minit ke-80, Arif Aiman pantas mengambil bola dan menyudahkan sepakan penalti menewaskan penjaga gol Kelantan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN