PARIS: Ketua Jurulatih Croatia, Zlatko Dalic berkata, sikap Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang tidak memberi penghormatan sewajarnya kepada negara itu sebab utama dia menolak untuk mengundi dalam Anugerah Terbaik FIFA kelmarin.
Pemain berpengaruh Croatia, Luka Modric antara calon Anugerah Pemain Lelaki Terbaik, namun Dalic gagal menjadi lima calon akhir Jurulatih Terbaik.
Sebaliknya nama pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti, pengurus Perancis, Didier Deschamps, pengurus Manchester City, Pep Guardiola, pengurus Maghribi, Walid Regragui, serta pengurus Argentina, Lionel Scaloni dicalonkan, yang akhirnya kemenangan memihak kepada Scaloni.
Pengendali berusia 56 tahun itu turut mengecam Presiden FIFA, Gianni Infantino dengan merasakan tonggak mereka seperti Mateo Kovacic, Josko Gvardiol dan Dominic Livakovic berhak diberi pengiktirafan sambil menjelaskan kesemua pemainnya hanya akan berada dalam senarai pencalonan jika mereka berasal dari negara bola sepak yang lebih popular.

Dalam Piala Dunia di Qatar tahun lalu, skuad kendalian Dalic berjaya menewaskan Brazil di suku akhir sebelum dihampakan Argentina pada separuh akhir.
Bagaimanapun mereka bangkit untuk menumpaskan pasukan meningkat naik, Maghribi dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat.
Empat tahun sebelum itu pula, Croatia boleh berbangga apabila muncul naib juara Piala Dunia selepas tewas kepada Perancis pada perlawanan akhir.

“Jika pemain atau jurulatih England, Brazil, Sepanyol, Jerman serta Itali berjaya mendapatkan keputusan seperti kami, mereka akan berada dalam setiap senarai akhir pencalonan untuk sebarang anugerah bola sepak.
“Saya mahu lebih banyak penghormatan diberikan kepada kami, pasukan kebangsaaan, para pemain serta diri saya sendiri kerana kami berjaya meraih dua pingat, menyaksikan kami lebih berhak untuk menerimanya.
“FIFA sepatutnya mempromosikan sebuah negara kecil seperti Croatia mampu untuk bersaing dengan negara-negara besar lain kerana itulah pesanan paling indah yang boleh disampaikan untuk seluruh warga bola sepak dunia,” jelas Dalic. – AGENSI