LONDON: Antonio Conte bimbang dia mungkin dipecat oleh Tottenham sebelum musim ini berakhir selepas pasukannya tersingkir dari Liga Juara-Juara semalam.
Tottenham mengharungi malam ‘ngeri’ apabila bukan sahaja gagal membolosi gawang AC Milan, malah menutup saingan dengan 10 pemain ketika diikat 0-0.
Spurs yang tewas 1-0 pada aksi pertama, pusingan 16 akhir gagal bangkit daripada kekalahan itu, sekali gus tersingkir secara agregat 0-1. Itu bermakna, Tottenham mengharungi satu lagi musim tanpa trofi.
Kepulangan Conte buat kali pertama sejak menjalani pembedahan pundi hempedu nyata gagal menaikkan semangat pemain Tottenham.
Dalam sidang akhbar, pengurus dari Itali itu ditanya tentang masa depannya bersama Tottenham dan dia mengakui, apa sahaja boleh berlaku ketika ini.
“Ia sangat teruk untuk bertanya soalan begitu malam ini. Saya agak letih kerana baru menjalani pembedahan.
“Kontrak saya tamat pada Jun, jadi kita akan lihat, mereka mungkin memecat saya sebelum akhir musim. Siapa tahu, mereka mungkin kecewa,” katanya.

Tottenham turut diejek penyokong sendiri sejurus tamat separuh masa pertama selepas gagal melancarkan sebarang percubaan sepanjang dalam tempoh 45 minit.
Memasuki babak kedua, Spurs mempamer aksi lebih baik, namun buntu untuk merobek gawang Milan, dan peluang terbaik mereka hadir menerusi percubaan Pierre-Emile Hojbjerg pada minit ke-64.
Keadaan bertambah buruk buat tuan rumah pada minit ke-78 apabila Cristian Romero dibuang padang kerana melakukan dua asakan bodoh terhadap pemain lawan.
“Saya benar-benar minta maaf kepada penyokong, namun kami tidak boleh cipta kemenangan. Kita perlu bersabar mengharapkan keajaiban trofi akan datang kepada kita satu hari nanti,” katanya. – AGENSI