MUNICH: Pengarah sukan Bayern Munich, Hasan Salihamidzic percaya pasukannya sedia untuk berdepan ‘skuad terkuat Pep Guardiola’, Manchester City’ pada suku akhir Liga Juara-Juara.
Rabu lalu, City bangkit daripada aksi pertama yang hambar dengan membenam RB Leipzig 7-0 untuk mara ke peringkat lapan terakhir menerusi agregat 8-1.
Bayern pula menyekat impian gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) untuk memburu kejuaraan Eropah pertama selepas menang secara agregat 3-0.
Mereka akan bertemu semula jurulatih yang pernah membimbing Bayern dari 2013 hingga 2016, Guardiola yang kini membentuk skuad mantap City.
“Saya suka menentang pasukan yang bagus. Ini perlawanan kelas teratas, jadi kami akan berdepan lawan yang sukar. Kami akan bertemu pasukan terkuat City, pada pandangan saya.
“Ia ibarat final. Selepas Paris, kami akan berdepan satu lagi pasukan yang ada banyak kualiti.
“Mereka menang dengan meyakinkan menentang Leipzig. Kami akan bertemu semula dengan Guardiola dan saya menantikan perlawanan itu,” kata Hasan.

City akan diketuai ‘mesin gol’, Erling Haaland yang telah meledak 39 gol dalam semua pertandingan sejak tiba di Etihad musim ini, termasuk lima ketika menentang Leipzig, Rabu lau.
Biarpun menyedari kualiti Haaland dan City, Hasan yakin pertahanan Bayern mampu menangani asakan The Citizens.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn merasakan aksi menentang City ibarat ujian ‘litmus’ untuk melihat sama ada mereka mempunyai apa yang diperlukan untuk menjulang kejuaraan Eropah ketujuh.
“Manchester City pasukan terbaik tetapi kami Bayern Munich.
“Jika anda mahu memenangi Liga Juara-Juara, anda perlu menewaskan yang terbaik,” kata penjaga gol legenda itu. – AGENSI