Barcelona berisiko disingkir dari pentas Eropah

Barcelona berisiko disingkir dari pentas Eropah

BARCELONA boleh disekat daripada beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan jika didapati bersalah dalam kes merasuah pengadil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MADRID: Pendahulu La Liga, Barcelona berdepan kebimba­ngan disingkir daripada Liga Juara-Juara (UCL) musim depan gara-gara dakwaan memberi rasuah kepada bekas pengadil.

Juara Eropah lima kali itu didakwa membayar lebih 6.4 juta pound (RM34.8 juta) kepada Naib Presiden Jawatankuasa Teknikal Pengadil Sepanyol, Jose Maria Enriquez Negreira di antara 1993 dan 2018.

Menurut Goal, badan bola sepak Eropah, UEFA telah meminta informasi mengenai kes tersebut daripada Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) dan mengikuti perkembangannya dengan amat rapat.

Semalam, dalam pendengaran kes di Mahkamah Barcelona, dua bekas presiden kelab, Josep Maria Bartomeu dan Sandro Rosell serta Negreira didakwa melakukan rasuah, pecah amanah serta rekod perniagaan palsu.

Negreira dikatakan dibayar bagi memberi nasihat kepada kelab berkenaan isu pengadil.

“Barcelona mempunyai persetujuan secara lisan dengan Jose Maria Enriquez Negreira yang dirahsiakan.

“Dia menggunakan kapa­sitinya sebagai Naib Presiden Jawatankuasa Timbang Tara Teknikal (CTA), dan sebagai ganti bayaran dibuat kepadanya, dan dia akan melakukan tindakan yang memanfaatkan Barcelona dalam keputusan-keputusan pengadil,” kata pi­hak pendakwaan.

Bulan lalu, Barcelona menafikan sebarang salah laku dan mendakwa wang itu adalah pertukaran kepada perunding luar yang membekalkan laporan teknikal berkaitan pengadilan profesio­nal.

Skandal di Camp Nou mencetus kebimbangan penyertaan Barca dalam kempen UCL 2023/2024 akan disekat.

UEFA boleh menghukum kelab ‘jika berlaku aktiviti mengatur atau mempengaruhi keputusan perlawanan di pe­ringkat kebangsaan atau antarabangsa’, dan sekatan terpakai untuk satu musim.

UEFA boleh bergantung kepada keputusan badan sukan kebangsaan atau antarabangsa, tribunal timbang tara, atau mahkamah negeri jika Barca didapati bersalah.

Barcelona menegaskan, tindakan membayar untuk pertukaran perunding luar adalah amalan biasa dalam kalangan kelab profesional, namun Ketua Eksekutif La Liga, Javier Tebas berkata, presiden Barca, Joan Laporta harus meletak jawatan jika dia tidak dapat menjelaskan pembayaran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN