LONDON: Mikel Arteta mahu memberi tumpuan penuh untuk mengemudi Arsenal menjulang Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini biarpun timbul spekulasi dia bakal ‘dipinang’ Real Madrid bagi menggantikan Carlo Ancelotti.
Arsenal ketika ini mendahului liga dengan kelebihan lima mata ke atas Manchester City, sekali gus berada di landasan terbaik untuk merangkul kejuaraan pertama musim 2003-04, iaitu 19 tahun lalu.
Jurulatih dari Sepanyol itu dipuji secara meluas kerana kerjanya di Emirates pada musim ketiga sebagai pengurus, dengan laporan semalam mengatakan Real berminat mendapatkan khidmatnya.
Ancelotti dikatakan berada di bawah tekanan walaupun membimbing Real gelaran berganda – La Liga dan Liga Juara-Juara musim lalu.
“Apa yang ditulis (media) adalah perkara yang tidak boleh dikawal oleh pemain mahu pun pengurus.
“Apa yang saya boleh beritahu, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada apa yang saya lakukan di sini.
“Saya amat berbangga dan bersyukur kerana melakukan apa yang saya lakukan dalam kelab bola sepak ini. Itu sahaja,” kata Arteta. – AGENSI