ALMERIA, Sepanyol: Jurulatih Barcelona, Xavi amat kecewa dengan pasukannya selepas dikejutkan 1-0 oleh kelab kerdil Almeria dalam saingan La Liga semalam.
Penyudah hebat El Bilal Toure pada minit ke-24 memberi kemenangan buat Almeria di Stadium Power Horse dan membantu mereka keluar dari zon penyingkiran.
Barca bagaimanapun masih menerajui liga dengan tujuh mata mengatasi pencabar terdekat, Real Madrid, lawan yang akan ditentang pada separuh akhir pertama Copa del Rey, Khamis ini.
Biarpun kedudukan pendahulu liga tidak tergugat, namun kekalahan kedua musim ini tetap tidak mampu membendung kemarahan Xavi.
“Saya sangat kecewa. Kami bermain dengan aksi terburuk musim ini, terutama pada separuh masa pertama. Kurang rentak dan intensiti.
“Kami tidak menunjukkan semangat untuk memenangi perlawanan. Pada babak kedua, kami lebih baik, namun permainan tetap sukar.
“Kami membuat kesilapan dan memohon maaf kepada peminat. Sukar untuk memenangi La Liga jika begini dan kami perlu berubah (untuk Copa del Rey),” katanya.
Xavi menafikan pasukannya kurang bersemangat, namun menegaskan pemainnya keletihan ekoran jadual perlawanan yang padat.
“Kami perasan yang kebanyakan pemain agak letih, kami telah bermain dalam banyak perlawanan.
“Sebab itu kami melakukan penggiliran dan membuat pertukaran pemain.
“Peluang keemasan (melebarkan kelebihan) telah hilang. Kami mungkin mempunyai 10 mata sebagai pendahulu liga, namun ini tetap hari yang buruk,” katanya. – AGENSI