LONDON: Manchester United boleh digantung daripada Liga Juara-Juara jika diambil alih oleh pelabur Qatar selepas terdapat laporan mendakwa sekumpulan individu kaya raya yang berpangkalan di negara Asia Barat sedang mengintai Red Devils.
Sumber dikatakan memberitahu Daily Mail bahawa terdapat dana besar tersedia untuk membida kelab itu bersama-sama dan mereka sangat serius mengenai cita-cita untuk memiliki United selain turut bercakap mengenai perjanjian 4.5 bilion pound (RM23.3 bilion)
Situasi itu mendorong sambutan daripada sebahagian besar pangkalan peminat United yang membenci Keluarga Glazer namun, sorakan mereka mungkin mereda dengan cepat apabila mengetahui mereka boleh dikecualikan daripada Liga Juara-Juara.
Mereka bukan menjadi satu-satunya kelab yang diragui dalam pertandingan elit bola sepak Eropah kerana gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) juga berisiko untuk berdepan masa depan yang rumit jika pelabur Qatar membeli United.
Jika Red Devils dibeli oleh Qatar Sports Investments (QSI), United tidak akan dapat bersaing dalam Liga Juara-Juara berdasarkan peraturan badan induk bola sepak Eropah, UEFA yang diperkenalkan pada tahun 1990.
Peraturan UEFA menetapkan dua kelab dalam pertandingan tidak boleh dimiliki oleh orang yang sama dan untuk rekod, QSI membeli PSG pada musim panas 2011 dan telah banyak membiayai kelab Paris itu sejak memilikinya.
Bagaimanapun, jika cita-cita mereka untuk membeli United adalah serius seperti yang mereka katakan, Qatar mungkin perlu memilih antara PSG dan Red Devils.
Peraturan “Integriti pertandingan Kelab UEFA: Kemerdekaan kelab” melarang dua kelab berada dalam pertandingan yang sama, tidak boleh dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh kumpulan pemilikan yang sama.
Red Bull Leipzig dan Red Bull Salzburg telah berada dalam situasi yang sama pada 2017, selepas kedua-dua kelab mengesahkan tempat mereka dalam Liga Juara-Juara.
Bagaimanapun, kedua-dua kelab itu akhirnya dibenarkan untuk bersaing dalam pertandingan pada masa yang sama, selepas UEFA memeriksa kedua-dua kelab dan membuat kesimpulan bahawa mereka bebas daripada syarikat Red Bull. – AGENSI