Pertubuhan belia digalak mohon Geran Sejati MADANI RM100,000

Pertubuhan belia digalak mohon Geran Sejati MADANI RM100,000

Mohammed Taufiq Johari menyampaikan duit raya kepada golongan asnaf dan fakir miskin selepas merasmikan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pertubuhan belia di seluruh negara digalak memohon Geran Sejati MADANI berjumlah RM100,000 yang diperuntukkan kerajaan bagi menyokong pelaksanaan projek pembangunan dan keusahawanan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, kerajaan menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM250 juta bagi inisiatif berkenaan yang menyasarkan kira-kira 2,500 pertubuhan belia aktif di seluruh negara untuk menerima manfaat daripada geran tersebut.

Menurutnya, geran yang diperuntukan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bertujuan untuk memperkasa pertubuhan belia supaya dapat melaksanakan projek ekonomi dan pembangunan organisasi yang mampu menjana pendapatan serta melahirkan lebih ramai usahawan muda.

“Kita mahu melihat bagaimana dana RM100,000 ini boleh dimanfaatkan oleh pertubuhan belia untuk melaksanakan projek yang berpotensi berkembang, malah diharapkan mampu meningkatkan nilai projek sehingga mencecah RM500,000 atau lebih.

“Justeru Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) akan jelajah ke seluruh negeri untuk kita menjelas dan menerangkan kepada pertubuhan-pertubuhan belia bagaimana cara untuk memohon dana ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan Peringkat Negeri Melaka di Masjid Al-Abrar, Semabok di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Mohammed Taufiq berkata, setakat ini ROY telah menjelajah ke Pulau Pinang, Perlis dan beberapa negeri lain bakal menyusul selepas itu.

Menurut beliau, pertubuhan belia yang ingin memohon geran berkenaan perlu memenuhi beberapa syarat termasuk status pertubuhan yang aktif, mengemukakan laporan kewangan serta menyertai sesi penerangan yang akan dilaksanakan oleh ROY.

Beliau berkata, pihak ROY akan turut menjelaskan proses permohonan serta kaedah pelaksanaan projek
di bawah geran tersebut agar dapat diluluskan segera.

Jelasnya, ketika ini terdapat kira-kira 8,000 hingga 9,000 pertubuhan belia aktif di seluruh negara, namun peruntukan geran tersebut pada peringkat awal menyasarkan sekitar 2,500 pertubuhan.

“Justeru saya menyeru semua pertubuhan belia di negara ini supaya mengambil peluang ini untuk memohon Geran Sejati MADANI dan memanfaatkannya bagi memperkukuh peranan serta aktiviti pertubuhan masing-masing,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN