PETALING JAYA: Kementerian Belia dan Sukan tidak bercadang membina stadium baharu di mana-mana negeri, sebaliknya mahu memberi fokus kepada usaha membaik pulih kemudahan sukan yang sedia ada.
Menterinya Hannah Yeoh berkata, pertindihan acara yang dianjurkan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang sering menjadi kekangan bukan alasan untuk membolehkan venue baharu dibina khusus untuk bola sepak.
Hannah berkata, pihaknya lebih mementingkan untuk menaik taraf stadium termasuk membaik pulih venue sukan lain bagi memastikan tidak berdepan masalah apabila mengadakan sebarang acara sukan.

“Kita lihat bukan sahaja stadium utama tapi kami nak pastikan tanggungjawab kerajaan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersama-sama membina sukan.
“Keutamaan kami bukan asyik membina, tapi bagaimana untuk uruskan naik taraf dan seliaannya.
“Pada masa sama, kami tiada rancangan asyik bina stadium. Kalau tengok di negeri lain, asyik bina stadium ketika Sukma (Sukan Malaysia) tapi penyeliaannya agak sukar.
“Jadi kami tiada perancangan erus membina (stadium) dan lebih baik gunakan venue sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, aksi Piala AFF yang berlangsung di SNBJ sedikit terganggu membabitkan pemasangan pentas pentas konsert Jay Chou hingga skuad Harimau Malaya ‘kehilangan’ 21,000 penyokong.
Situasi berkenaan menyebabkan timbul cadangan pihak tertentu supaya kerajaan membina satu lagi stadium khusus untuk perlawanan bola sepak selain boleh digunakan sebagai alternatif lain untuk penganjuran aktiviti lain.