Selangor, Terengganu, Kedah ancaman terbesar JDT

Selangor, Terengganu, Kedah ancaman terbesar JDT

SELANGOR FC antara pasukan yang menjadi pilihan untuk menggugat JDT dalam saingan Liga M 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terengganu FC (TFC), Selangor FC dan Kedah Darul Aman (KDA), tiga pasukan yang menjadi pilihan pemerhati bola sepak tempatan sebagai ancaman terbesar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sai­ngan Liga Malaysia musim 2023 yang dibuka secara rasmi esok.

Kuala Lumpur City (KL City) yang melakar kejutan muncul naib juara Piala AFC musim lalu dan kini memiliki bekas penyerang sensasi Selangor, Caion turut diletak sebagai pa­sukan yang mampu menghadirkan ancaman, selain Sabah FC.

Selangor cukup disegani di bawah bimbingan Tan Cheng Hoe, ditambah pula kehadiran bintang baharu seperti Faisal Halim, Khuzaimi Piee dan beberapa tonggak import menjadikan mereka amat bersedia untuk mengembalikan kegemilangan pada musim 2023.

Bagi KDA FC, biarpun tampak kurang meyakinkan dalam pramusim tetapi sentuhan Jurulatih Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) tahun lalu, Mohd. Nafuzi Zain yang terkenal membentuk pemain muda menjadikan mereka ­pasukan paling menarik untuk diikuti.

NAFUZI ZAIN

Bekas pasukan Nafuzi yang juga naib juara Liga Super 2022, Terengganu pula mendapat sentuhan pengendali dari Croatia, Tomislav Steinbruckner dan penyerang berbisa Thailand, Adisak Kraisorn.

Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali percaya, Se­langor FC, Terengganu FC, KDA dan KL City akan menghadirkan kejutan, namun aksi Piala Sumbangsih JDT-Terengganu esok akan memberi gambaran awal kepada apa yang bakal berlaku sepanjang tahun ini.

“Bagi saya empat pasukan ini mampu beri cabaran dan menyukarkan JDT untuk memenangi Liga Super musim ini berbanding tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.

Pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Richard Scully juga yakin, musim ini akan lebih mencabar berbanding 2022 dengan memilih Selangor dan Terengganu sebagai pasukan yang mampu melakukan sesuatu.

Adisak Kraisorn memperkuatkan Terengganu FC.

“Dari segi kejutan sudah tentu ramai yang mahu melihat, malah pasukan yang bertanding pun turut mahu mengejutkan JDT.

“Saya jangkakan Selangor mampu bawa kejutan, Terengganu juga saya percaya mampu.

“Selain dua pasukan itu, saya percaya Perak juga ada pasukan seimbang di bawah kendalian Datuk Lim Teong Kim yang mampu menaikkan penanda aras musim ini.

“Saya harap ada pasukan mampu cabar JDT serta JDT juga mungkin perlu tingkatkan kehebatan mereka untuk terus menakluki kejuaraan,” katanya.

Bekas penyerang dan jurulatih negara, Datuk Zainal Abidin Hassan meramalkan, JDT akan mempertahankan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut kerana memiliki struktur pasukan yang jauh lebih baik daripada pencabar lain.

CAION kini mengetuai serangan KL City.

Begitupun, Kedah, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabah mampu mengha­dirkan cabaran, manakala baki lapan pasukan lain tampak agak sukar untuk menyaingi mereka.

“Saya pilih JDT untuk menang liga musim ini, bukan memandang rendah pasukan lain tapi jika dilihat daripada pelbagai sudut pasukan itu memiliki begitu banyak kelebihan berbanding pasukan lain,” katanya.

Bekas pertahanan Melaka United, Razman Roslan menjangkakan Penang FC boleh membuat kejutan pada musim 2023, susulan kejayaan mengikat dua pemain dari pasukan lamanya iaitu Giovane Gomes dan Adriano Narcizo, yang diyakini mampu menambah bisa ‘Harimau Kumbang’.

“Saya harap pasukan-pasukan lain mampu memberi saingan hebat kepada JDT. Bagi saya antara pasukan yang ingin saya lihat adalah Penang FC biarpun prestasi musim lalu merosot tetapi musim ini saya percaya mereka akan tampil berbeza,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya