IPOH: Perak FC digesa mengambil khidmat seorang lagi tonggak import bagi menajamkan jentera serangan untuk menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) 2023.
Gesaan itu dibuat oleh penyokong tegar Bos Gaurus selepas melihat ketumpulan jentera serangan pasukan dalam beberapa perlawanan persahabatan pramusim.
Berdasarkan persembahan setakat ini, mereka bimbang pasukan Kejor Yob Kejor akan menjadi mangsa belasahan lawan.
Selepas merakamkan tiga kekalahan berturut-turut menentang pasukan Liga Super, penyokong Perak jelas resah dengan prestasi yang ditonjolkan skuad bimbingan Datuk Lim Teong Kim.
Bermula dengan kekalahan 0-1 kepada Penang FC pada 28 Januari, diikuti 3-0 kepada Kuala Lumpur City (KL City) dalam Piala Menteri Wilayah Persekutuan dan terbaharu, tumpas 2-0 di tangan Negeri Sembilan.
“Jika berterusan begini bimbang Perak menjadi belasahan pasukan lain,” kata penyokong kelab Perak All Star, Shahar Guirdola Hadiri dalam Facebook.
“Dah berapa perlawanan golnya tak ada, macam mana?,” soal Azmier Mohd. dari Kelab Yob 4 Ever.
“Satu gol pun payah nak jaringkan risau kita tengok pasukan seperti Kedah, Pahang, Terengganu, dan Johor tu jangan cakaplah mereka semua ada [pemain] import bagus-bagus. Jangan jadi pisang berbuah dua kali,” tulis Is Zainal.
“Kalah lagi, ‘makanan’ lah musim ni,” tulis Jama.