Peluang besar pemain negara berlatih dengan legenda negara

Peluang besar pemain negara berlatih dengan legenda badminton negara

Mesyuarat Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang bersidang buat kali pertama hari ini di Bukit Kiara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan pemain badminton negara berpeluang merasai pengalaman berlatih dan mendapat bimbingan daripada barisan legenda negara sebagai kaedah untuk mempertingkatkan prestasi skuad negara, khususnya menjelang kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai 1 Mei depan.

Ia merupakan sebahagian daripada usul yang dicadangkan dalam Mesyuarat Panel Penasihat Teknikal Akademi Badminton Malaysia (ABM) yang bersidang buat kali pertama hari ini di Bukit Kiara dan bakal diimplementasikan dalam masa terdekat.

Ini bermakna barisan sedia ada berpeluang untuk berlatih dan mendapat tunjuk ajar serta perkongsian ilmu dengan legenda seperti Datuk Lee Chong Wei, Ong Ewe Hock serta Roslin Hashim dalam acara perseorangan, manakala skuad beregu pula bakal mendapat sentuhan daripada Datuk Cheah Soon Kit dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Bagaimanapun ia tertakluk dengan perancangan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan dan Beregu, iaitu Wong Choong Hann dan Rexy Mainaky bagi memastikan segalanya selari dengan program sedia ada.

“Antara perkara yang kita telah bersetuju adalah barisan legenda ini diberikan peranan sebagai mentor, contohnya Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong, mereka merupakan legenda dalam acara beregu lelaki, jadi mereka akan menolong untuk menguruskan acara itu, melalui persetujuan Rexy Mainaky.

“Begitu juga dengan acara perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, Ewe Hock dan Roslin akan bekerjasama dengan Choong Hann, dan saya katakan kepada mereka semua, ini tanggungjawab bersama untuk mendapatkan keputusan yang terbaik untuk negara.

“Bermula Mei ini sehingga April tahun hadapan adalah tempoh yang amat genting untuk badminton negara kerana bermulanya kelayakan ke Sukan Olimpik, jadi barisan legenda boleh membantu kami, kerana kadang kala para pemain kita mempunyai masalah keyakianan diri, mungkin dengan kehadiran legenda ini, mereka akan lebih selesa untuk berbicara kerana mereka sebenarnya takut untuk meluahkan apa yang terbuku di hati kepada saya sebagai presiden, atapun kepada jurulatih mereka, mungkin disebabkan takut dan sebagainya,” jelas Norza menerusi sidang media selepas tamatnya mesyuarat tersebut.

Norza juga tidak menolak barisan legenda mungkin akan dilantik sebagai pengurus untuk skuad negara menghadapi tugasan penting pada masa akan datang, namun tertakluk kepada jadual dan komitmen mereka memandangkan kehadiran mereka di ABM adalah secara pro-bono.

“Katakan di Piala Sudirman nanti, kita akan membawa seorang dua legenda negara ini sebagai tambah nilai kepada pasukan, untuk membantu barisan kejurulatihan, bagaimanapun mereka tidak akan terlibat dengan sesi pemilihan pemain, ia di luar bidang kuasa mereka kerana mereka hanya hadir di sini sebagai penasihat,” tambah Norza.

Dalam masa yang sama, Norza turut menjelaskan panel ini akan kekal memainkan peranan sebagai penasihat kepada ABM, dan berbeza dengan peranan Jawatankuasa Jurulatih dan Kejurulatihan badan induk itu sebelum ini.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya