PETALING JAYA: Tidak sampai 24 jam selepas Selangot FC mengumumkan harga pas bermusim ‘mampu milik’ kelmarin, lebih 500 pas disambar penyokong kurang 10 hari sebelum Liga Malaysia (Liga M) 2023 membuka tirai.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, pas yang ditawarkan mungkin menampilkan ciri ‘biasa-biasa’ tetapi harganya yang lebih mampu milik berbanding musim-musim sebelum ini membuatkan ia mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, berbeza tahun lalu yang mana penjualan pas bermusim turut disertakan dengan cenderahati seperti jersi pasukan, namun musim ini, Gergasi Merah mengambil pendekatan meletak harga yang lebih murah dan tanpa saguhati.
“Pas bermusim kita sebenarnya agak biasa kerana kita ingin fokus kepada perbelanjaan lain dalam kelab. Kita pun memahami banyak benda lain perlu dibelanjakan penyokong sekarang, jadi kami tak mahu susahkan keadaan.
“Kita buat tiga pakej, Grand Stand, Terbuka (dewasa) dan Kanak-kanak. Harga bermula dari RM49 untuk kanak-kanak, RM199 untuk dewasa dan RM299 Grand Stand.
“Bagi Grand Stand kita beri kelebihan makanan dan minuman dan keutamaan membeli tiket perlawanan akhir jika Selangor berjaya ke final Piala Malaysia atau Piala FA.
“Tahun ini memang kami lebih straight forward. Dengan kos sara hidup makin meningkat, kami cuba untuk sesuaikan dengan bajet penonton.
“Daripada segi harga, saya boleh katakan kami berada dalam kalangan kelab yang letak harga murah untuk pas bermusim,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pembeli pas bermusim akan mempunyai akses masuk ke semua perlawanan home Selangor FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi saingan Liga Super.
Dalam aksi Piala FA dan Piala Malaysia pula, pembeli masih boleh menggunakan pas yang sama, kecuali perlawanan akhir.
Begitupun, keutamaan tetap diberikan kepada pemegang pas untuk membeli tiket aksi akhir bagi mengelak mereka beratur panjang, selain dapat masuk ke stadium menggunakan pintu khas.
Selangor yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu akan membuka kempen Liga Super 2023 dengan menentang Kelantan United di Petaling Jaya pada 26 Februari.