LONDON: Ada sebab mengapa Dan Burn dan pemain Newcastle United lain enggan memakai suit untuk perlawanan akhir Piala Liga menentang Manchester United esok.
Mereka bertandang ke Wembley untuk mencipta sejarah dan memenangi perlawanan, bukan ‘bergaya’ atau berseronok.
“Tidak, kami memilih untuk tidak memakai suit. Saya sendiri tidak begitu sukakan suit.
“Ia perkara yang sudah kami bincangkan. Kami tidak mahu pergi ke satu tempat yang penting dan kelihatan seperti keluar untuk berseronok serta bergaya. Kami pergi untuk menang dan tidak perlukan gangguan lain.
“Saya tidak mengatakan perkara ini akan membawa perbezaan dalam final.
“Kami boleh sahaja memakai suit dan mungkin menang atau kalah tetapi secara mentalitinya, 100 peratus ia akan menaikkan semangat pemain. Ini lebih kepada soal mentaliti,” kata tonggak pertahanan Newcastle itu.

Menurut Burn, 30, dia sedar semua penyokong dan penduduk Newcastle teruja apabila pasukan itu berjaya ke perlawanan akhir pertama mereka selepas hampir dua dekad iaitu sejak kali terakhir menjuarai Piala Intertoto UEFA 2006.
Bagaimanapun dia dan rakan-rakannya tidak gembira dengan hanya melayakkan diri ke final, sebaliknya mereka mahu menghadiahkan kemenangan kepada pasukan dan perlu memberi fokus yang tepat.
Katanya, beraksi di Wembley dengan menyarung jersi Newcastle juga ibarat impian sejak zaman kecil yang menjadi kenyataan. – AGENSI