PARIS: Lionel Messi mempertimbangkan untuk kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya di Argentina, Newell’s Old Boys, menurut teman karib dan bekas rakan sepasukannya, Sergio Aguero.
Aguero terpaksa bersara awal kerana masalah kesihatan musim lalu selepas dibawa ke hospital akibat kesukaran bernafas.
Bagaimanapun, dia tetap berkawan rapat dengan Messi, yang pernah menjadi teman sebiliknya di peringkat antarabangsa bersama Argentina.
Bekas penyerang itu juga menjadi sebahagian daripada rombongan Argentina pada Piala Dunia tahun lalu, ketika negara Amerika Selatan itu memenangi trofi itu buat kali pertama dalam tempoh 36 tahun dengan Messi menerajui kejayaan itu.
Messi dikatakan akan memulakan rundingan lanjutan kontrak dengan Paris Saint-Germain (PSG) setelah menyertai kelab Perancis itu menerusi kontrak dua tahun pada musim panas 2021.
Selepas musim pertama yang sukar, dia telah menjaringkan 16 gol dan mencatat 17 umpanan musim ini.

Penyerang berusia 35 tahun itu dikatakan belum memutuskan mengenai masa depannya biarpun kontrak bersama PSG akan tamat, Ogos nanti.
Messi dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona tetapi dia enggan menjawab panggilan telefon daripada pihak perunding yang rapat dengan Presiden Barca, Joan Laporta, yang terdesak untuk membawa bintang Argentina itu kembali ke Camp Nou.
“Dia serius mempertimbangkan kemungkinan bermain untuk Newell,” kata Aguero baru-baru ini, seperti dipetik oleh UOL.
Bekas pemain tengah Argentina, Maxi Rodriguez membalas komen itu dengan mentertawakan Aguero.
“Kun (Aguero) tetap Kun. Mulutnya tidak boleh diam.
“Kita akan lihat. Sukar untuk bercakap tentang perkara ini kerana ia akan mencetuskan khabar angin. Kita tunggu dan lihat apa akan, kita tidak boleh mendahului fakta,” katanya. – AGENSI