Manuel Ott tangguh bulan madu demi hijau kuning

Manuel Ott tangguh bulan madu demi hijau kuning

Manuel Ott (kiri) bersama Manuel Hidalgo berangkat ke Turkiye untuk aksi pra musim pasukan Kedah sebagai persiapan menghadapi Liga Malaysia 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Demi tanggungjawab kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pemain import Sang Kenari, Manuel Ott sanggup menangguhkan dahulu perancangan untuk berbulan madu bersama cinta hatinya, Marian Gianina Jamias yang baru dikahwininya, Khamis lalu.

Menurut pemain kelahiran Jerman yang memiliki kerakyatan Filipina itu, dia terus terbang ke Alor Setar sehari selepas berkahwin di Manila bagi memastikan dapat bersama-sama rakan sepasukan ke Turkiye sebagai persediaan pra musim.

Katanya, dia memiliki tanggungjawab untuk dilunaskan buat pasukan dalam usaha untuk memastikan Kedah mampu mencapai setiap matlamat ditetapkan dalam saingan liga musim ini.

“Memang meletihkan tetapi saya dan isteri gembira semuanya berjalan lancar buat kami. Selepas menyelesaikan urusan perkahwinan bersama wanita yang saya cintai, maka kini masanya untuk fokus kepada persiapan pra musim.

“Jelas sekali ini tanggungjawab yang perlu dilunaskan kerana persiapan pra musim ini cukup penting buat pasukan. Tentang berbulan madu itu, mungkin kami boleh tangguhkan seketika dan melaksanakannya apabila ada masa terluang nanti,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) sebelum berangkat ke Turkiye, semalam.

Manuel menambah, beliau gembira kerana kini memiliki ‘tonik’ tambahan untuk meneruskan perjuangan dalam arena bola sepak dengan kehadiran isterinya itu.  

“Status saya kini mungkin berbeza selaku lelaki yang sudah berkahwin tetapi impian bersama KDA FC masih sama iaitu mahu mencapai musim paling gemilang bersama pasukan ini.

“Maka pemergian kami ke Turkiye penting terutamanya dalam hal-hal yang cukup spesifik. Sebelum saya pulang ke Filipina untuk urusan perkahwinan, telah banyak yang kami lakukan tetapi itu tentunya belum mencukupi dan masih banyak perlu dibuat,” katanya.  

Sementara itu, pengendali Kedah, Nafuzi Zain menegaskan menamatkan saingan Piala Cabaran di tempat ketiga bukan gambaran sebenar kekuatan pasukannya.

Tambahnya, beliau bakal menilai kesebelasan utama Sang Kenari semasa tempoh latihan jelajah pra-musim 2023 yang akan dilalui skuadnya di Antalya, Turkiye.

“Kesebelasan utama Skuad Sang Kenari setakat ini masih terbuka kepada setiap pemain kerana belum dipastikan lagi. Ini adalah persiapan terakhir yang akan dilakukan di Turkiye.

“Jadi saya berharap pemain dapat membuktikan kemampuan mereka,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya