MANCHESTER: Peminat Manchester City tertanya-tanya mengapa bintang penyerang mereka, Erling Haaland gemar memakan lobak merah selepas pemain itu sering mengunyah sayuran tersebut.
Rabu lalu selepas meledak gol ketika membantu City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan menumpaskan Arsenal 3-1, lobak merah tidak lekang di mulut penyerang Norway itu.
Haaland, 22, juga dilihat seronok mengunyah lobak ketika menurunkan tingkap keretanya untuk memberi autograf kepada penyokong yang menanti di luar pusat latihan kelab semalam.
Dalam kebanyakan gambar yang ditangkap oleh peminat, Haaland dilihat tidak lekang dengan lobak merah, sama ada sedang mengunyah atau memegangnya di tangan.
Ramai tertanya-tanya, apakah lobak merah adalah sebahagian regim pemakanan baharu Haaland bagi menguatkan tenaga serta kecergasan.
Haaland sebelum ini dikenali sebagai seorang yang kuat makan, namun kerana regim pemakanan yang diamalkan dia berjaya mengurangkan 6,000 kalori sehari.
Rakan sepasukanya dalam skuad kebangsaan, Joshua King pernah mendedahkan, Haaland ‘makan seperti seekor beruang’.
“Dia seorang yang aneh. Saya tidak pernah melihat sesiapa makan sebanyak dia,” kata King dalam podcast ‘The Cycling GK’ Ben Foster. – AGENSI