liridon milik penyu

Liridon milik Penyu

AKSI Liridon (tengah) ketika menentang kelab Liga Denmark, Odense Boldklub di Thailand, kelmarin. IHSAN TFC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Spekulasi mengaitkan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi dengan Terengganu FC (TFC) terjawab selepas disahkan menyertai pasukan itu secara pinjaman selama setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC, Ab. Rasid Jusoh, berkata, kehadiran tonggak kelahiran Kosovo itu daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal melengkapkan senarai barisan pemain untuk saingan 2023.

Menurut beliau, pengalaman luas Liridon dalam liga tempatan bersama Kedah, Melaka United dan JDT menjadi aset berharga buat TFC menghadapi saingan domestik serta Piala AFC musim ini.

“Selain itu dia juga memiliki pengalaman beraksi dalam liga di Turki, Australia, India dan Thailand. Jadi pemain sepertinya boleh membantu TFC mencapai sasaran pada 2023.

“Diharap kemasukan Liridon dalam pasukan menyuntik semangat baharu kepada pemain lain dan merealisasikan perancangan ketua jurulatih (Tomislav Steinbruckner).

“Dia sudah berlatih bersama TFC dan beraksi sebagai pemain simpanan ketika aksi pemanas badan bertemu kelab Denmark, Odense BK di Bangkok, semalam,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Liridon mula menempa nama dalam bola sepak tempatan ketika bersama Kedah dengan menjuarai Liga Perdana pada 2015, Piala Malaysia (2016), Piala Sumbangsih dan Piala FA pada 2017.

Pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, berkata, pemain tinggi lampai itu memiliki karakter yang dimahukan bagi memperkemaskan jentera tengah dan serangan Sang Penyu.

Menurut jurulatih berasal Croatia itu, Liridon merupakan pemain ideal yang mampu membuat umpanan kepada penyerang serta menunjukkan kualiti sebagai penjaring gol.

“Penyertaan Liridon sudah tentu menjadi pelengkap buat Habib Haroon dan Domagoj Pusic di posisi tengah. Jadi saya perlu pastikan mereka boleh segera mendapatkan keserasian.

“Namun Liridon cukup berpengalaman dalam liga tempatan dan saya harap dia mampu membuktikan sentuhannya bersama kami dalam Liga Super dan Piala AFC tahun ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN