Kredibiliti Hamidin mampu mantapkan bola sepak Asia

Kredibiliti Hamidin mampu mantapkan bola sepak Asia

HAMIDIN bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino.-IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berazam untuk meletakkan nama Malaysia di mata dunia selepas diberikan kepercayaan menjadi Ahli Majlis Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Syukur dapat menang kerusi Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027. Ini adalah tanggungjawab buat saya untuk menaikkan mutu bola sepak Malaysia, Asia Tenggara dan Asia ke tahap yang lebih baik.

“Terima kasih kepada semua perwakilan yang mengundi, Exco FAM, pihak kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim,” katanya.

Hamidin menjadi individu keempat yang dilantik selepas Naib Presiden FAM, Lee Kee Siong menjadi individu pertama pada tahun 1960 disusuli Tan Sri Hamzah Abu Samah yang menang tanpa tanding di Kongres AFC untuk jawatan tersebut pada tahun 1972 dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (2015).

Sementara itu, Presiden FIFA, Gianni Infantino percaya pelantikan Hamidin selaku Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023 hingga 2027 bakal memantapkan lagi industri bola sepak di Asia.

Infantino, menjelaskan bahawa Hamidin sememangnya layak untuk memenangi jawatan berkenaan dan berharap dapat menjalankan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

“Saya sangat gembira apabila Hamidin dapat menang pertandingan ini apabila dipilih menjadi Ahli Majlis FIFA yang baharu. Ini adalah perkembangan yang penting buat arena sukan di Malaysia.

“Saya telah mengenali Hamidin untuk tempoh yang lama dan tidak sabar untuk bekerjasama rapat dengannya. Saya harap kita dapat saling membantu meningkatkan lagi industri bola sepak serantau khususnya di peringkat Asia,” katanya.

Hamidin berjaya meraih 35 undian selepas menjadi antara tujuh calon yang bertanding bagi mengisi lima kerusi wakil lelaki Asia dalam Majlis FIFA yang berlangsung pada Kongres AFC di Manama, Bahrain kelmarin.

Selain Hamidin, turut terpilih adalah Sheikh Hamad Khalifa A. A. Al Thani dari Qatar (40 undian) Kohzo Tashima (Jepun/39 undian), Yasser H. Almisehal (Arab Saudi/35 undian) dan Mariano Areneta Jr. (Filipina/34 undian).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya