ALOR SETAR: Diletak sebagai antara pilihan untuk menyaingi Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) yang mendapat sentuhan jurulatih terbaik kebangsaan musim lalu, Nafuzi Zain mahu memulakan kempen Liga Super 2023 dengan kemenangan ke atas Perak hari ini.
Pertembungan di Ipoh itu dijangka menarik kerana Bos Gaurus juga mendapat sentuhan jurulatih berpengalaman, Lim Teong Kim.
“Misi kami tiga mata. Walaupun sukar tetapi kita harus yakin dengan keupayaan dan kemampuan pasukan.
“Perak bukan calang-calang pasukan. Mereka memiliki pasukan yang sentiasa ‘bekerja’ sepanjang 90 minit dan saya tak fikir kami akan diberi ruang mudah tapi saya tidak mahu memikirkan mengenai lawan sebaliknya lebih fokus kepada persiapan Sang Kenari.
“Pemain kami bermotivasi tinggi dan bersemangat walaupun akan bermain di gelanggang lawan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan semalam.

Sementara itu, Nafuzi mengakui, beliau sendiri berdebar dan teruja memulakan musim baharu kerana sedar harapan menggunung pengurusan serta penyokong dengan persekitaran baharu tercipta dalam pasukan.
“Tekanan dalam menghadapi perlawanan pertama biasanya berbeza dan memerlukan persediaan fizikal serta mental memandangkan setiap pasukan mahu memulakan musim dengan tiga mata.
“Kesebelasan utama sudah ada dalam bayangan namun pertukaran mungkin terjadi pada minit-minit terakhir,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap lincah, Manuel Hidalgo percaya, kombinasi permainan pantas dan keupayaan membina pergerakan dari bawah bakal menjadi aset Sang Kenari untuk menumbangkan Bos Gaurus di Stadium Perak malam ini.
Katanya, sokongan daripada segala aspek diberikan pihak pengurusan termasuk membawa pemain ke Turkiye sebagai persiapan pra-musim menambah semangat perjuangan pemain untuk memberikan yang terbaik sebaik Liga Super bermula.
“Persiapan pra-musim sangat membantu kerana saya rasa kami banyak berkembang dari situ. Setakat ini semua orang dalam pasukan memberikan yang terbaik dan saya yakin kami mampu mencatatkan keputusan yang baik esok,” katanya.

Mengulas tanggapan kemampuan Perak FC yang dianggap sebagai ‘underdog’ berbanding KDA FC, Hidalgo berkata, rakan sepasukannya tidak perlu terbawa-bawa dengan anggapan sedemikian yang mampu mengundang bahaya kepada Sang Kenari.
“Itu perkara yang paling teruk boleh terjadi. Kami tidak boleh sama sekali menyatakan bahawa pasukan ini lebih baik berbanding mereka. Saya yakin Perak FC juga akan melakukan yang terbaik untuk menang dan kami sama sekali tidak boleh pandang rendah mana-mana pasukan,” katanya.
Pemain berusia 24 tahun yang berasal dari Argentina itu pada masa sama mengakui cukup selesa berada dalam pasukan termasuk berkaitan cara pengendalian Nafuzi yang antara lain menjadi faktor dia berhijrah ke bumi Darul Aman.
“Dengan segala yang ada di Kedah, saya tak terlalu memikirkan kejayaan peribadi termasuk untuk mengatasi jumlah tujuh gol yang dihasilkan di Pahang musim lepas. Apa yang lebih penting bagi saya adalah pasukan ini mampu mendapatkan trofi pada musim ini,” katanya.