PETALING JAYA: Jepun dan China antara pasukan yang berada dalam perancangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menjadi lawan Harimau Malaya bagi aksi persahabatan dan Pesta Bola Merdeka tahun ini.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, pasukan kebangsaan perlu mendapat pendedahan dan persediaan terbaik sebelum mengharungi Piala Asia 2023 yang akan berlangsung Januari tahun depan.
Begitupun beliau menjelaskan, masih menunggu pengesahan daripada negara terbabit termasuk Jepun dan China untuk mengatur perlawanan mengikut kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Dalam masa sama, Harimau Malaya akan bermula dengan dua perlawanan persahabatan pada Mac ini dengan kedua-duanya dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor.
Ujarnya, pasukan terbabit adalah Turkmenistan dan satu lagi pihaknya masih menunggu jawapan sama ada Taiwan atau Kuwait.
“Pada Jun kita bermain satu perlawanan di SSI dan satu lagi kemungkinan di Terengganu.
“Tetapi saya difahamkan ada proses naik taraf, saya tak pasti, kita mungkin akan bermain di Pahang atau Pulau Pinang untuk bagi ruang kepada peminat dekat sana.
“Pasukan yang sudah sah Jun ini adalah Yaman dan satu lagi antara Syria atau Oman. Semua mengikut perancangan dan taktikal ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
“September pula kita akan bermain di tempat lawan, kemungkinan Hong Kong dan mungkin Taiwan atau kita juga sedang minta dengan Jepun atau China. Kita tunggu jawapan dan mungkin juga Uzbekistan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Sekiranya perlawanan menentang Jepun dan China menjadi kenyataan, ia jelas memberi cabaran terbaik buat Malaysia yang menghuni tangga 145 dunia berbanding pasukan berkenaan masing-masing di kedudukan 20 dan 80.
Jepun dan China berada di kedudukan 20 dan 80 dalam ranking FIFA, jauh di depan Malaysia yang menghuni tangga 145 dunia.
Dalam perkembangan sama, Hamidin berkata Pesta Bola Merdeka bakal diadakan pada Oktober dengan menggunakan format seperti Piala Raja Thai.
“Pasukan yang sudah sah ada empat pasukan, Malaysia, India, Lebanon, Palestin dan ada kemungkinan kita nak bawa China. Jadi salah satu itu, Lubnan mungkin kita nak bawa untuk (persahabatan) pada September,” jelasnya.