ISKANDAR PUTERI: Kejayaan mempertahankan Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menewaskan Terengganu FC 2-0 kelmarin adalah permulaan sempurna untuk memburu trofi Liga Super ke-10 berturut-turut, tegas pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari.
Katanya, tiga mata yang diraih membolehkan mereka memulakan musim baharu dengan keyakinan tertinggi, apatah lagi lawan yang dikalahkan adalah pasukan kedua terbaik musim lalu.
“Terlalu awal untuk mengukur prestasi pemain secara keseluruhan pada perlawanan pertama. Saya lihat barisan pertahanan banyak melakukan hadangan, manakala jentera serangan kreatif mempelbagaikan bentuk serangan.
“Justeru, kita akan mengkaji semula perlawanan ini dan cuba memantapkan corak permainan selepas ini. Pemain sudah menunjukkan karakter mereka, ia perlu digilap menjadi lebih baik pada perlawanan seterusnya.
“Saya gembira kita berjaya menjulang trofi pertama musim ini dan pasukan di landasan tepat,” kata Solari.

Dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin, gol pertama JDT disempurnakan muka baharu, Juan Muniz seawal minit kelima sebelum Bergson da Silva menggandakan kedudukan di babak kedua untuk menghadiahkan Piala Sultan Haji Ahmad Shah keenam berturut-turut.
Sementara itu, pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner akur jurang kualiti menjadi pemisah pasukannya.
Keadaan bertambah buruk apabila mereka turun Habib Haroon cedera, manakala Liridon Krasniqi tidak boleh bermain kerana berstatus pinjaman daripada JDT.
“Tanpa pemain berpengalaman seperti Habib dan Liridon, penyerang kita, Adisak Kraison dan Ivan Mamut tidak mendapat umpanan yang baik,” katanya.