Danial Syahmi sasar kelompok lima terbaik

Danial Syahmi sasar kelompok lima terbaik

DANIAL Syahmi Ahmad Shahril (kiri) akan bergandingan dengan Muhammad Hakim Danish Ramli.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Tugas berat menanti pelumba muda negara, Danial Syahmi Ahmad Shahril untuk mencatat keputusan yang lebih baik pada penampilan keduanya dalam Red Bull MotoGP Rookies Cup dan Kejuaraan Dunia JuniorGP bagi musim 2023.

Melengkapkan aksi di kedudukan ke-17 keseluruhan dalam JuniorGP dan tempat ke-14 pada Red Bull Rookies tahun lalu, Danial Syahmi meletakkan sasaran yang lebih tinggi untuk dikejarnya menjelang musim baharu ini.

“Musim ini saya lebih yakin, sasaran saya untuk menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik keseluruhan.

“Untuk merealisasikan hasrat itu, saya perlu habiskan perlumbaan dalam kedudukan 10 terbaik dan cuba dapatkan podium sebanyak yang boleh,” katanya ketika ditemui pemberita di Litar Antarabangsa Sepang, Selasa lalu.

Pelumba yang digilap bakatnya oleh ZK Racing itu bakal bergandingan dengan rakan senegara, Muhammad Hakim Danish Ramli dalam kejuaraan Red Bull Rookies.

Anak muda berusia 20 tahun itu memberitahu, walaupun akan berlumba bersama Hakim Danish yang melakukan penampilan sulung, namun, apabila di atas litar rakan baiknya itu tetap pesaingnya.

“Sudah tentu kami akan tolong menolong, tetapi apabila di atas trek kami akan tetap berhabis-habisan, lawan tetap lawan, saya tak fikir kawan apabila berlumba,” tegasnya.

Danial Syahmi turut menasihatkan Hakim Danish agar membuat kerja rumah bagi mengenali pelumba-pelumba yang akan beraksi dalam Red Bull Rookies yang rata-ratanya lebih agresif berbanding pelumba Asia Talent Cup.

“Pengalaman musim lalu banyak mengajar saya, mereka ini rata-ratanya memiliki pengalaman memacu jentera Moto3 dan mereka lebih agresif,” ujarnya.

Danial Syahmi dan Hakim Danish akan memulakan musim mereka di Portimao, Portugal pada 25-26 Mac ini, dengan sesi pra-musim diadakan 15 dan 16 Mac, manakala bagi Kejuaraan Dunia JuniorGP 2023, musim baharu hanya akan bermula 7 Mei di Litar Estoril juga di Portugal. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya