LONDON: Perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini menjanjikan saingan sengit sehingga hari terakhir selepas Arsenal dan Manchester City terus merakam kemenangan kelmarin.
Pada ketika gol tunggal Gabriel Martinelli memastikan Gunners menang 1-0 di Leicester City dan menerajui liga dengan kelebihan dua mata, City berpesta jaringan membelasah Bournemouth 4-1 di Stadium Vitality.
Pertahanan City, Rico Lewis menegaskan, kemenangan ke atas Bournemouth isyarat buat Arsenal mereka akan terus dihambat sehingga akhir musim.
Arsenal bagaimanapun sedia melebarkan jurang kepada lima mata jika menewaskan Everton pada Rabu.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta gembira dengan perkembangan pasukannya yang bangkit selepas kekalahan 1-3 kepada City pada 16 Februari lalu untuk menumpaskan Aston Villa 4-2, diikuti kemenangan di Stadium King Power.

“Saya berpuas hati dengan persembahan pasukan, kami menguasai perlawanan, terus mengasak dan sentiasa di hadapan, namun tidak mencipta banyak peluang keemasan.
“Untuk menang di tempat lawan dalam saingan Liga Perdana Inggeris seperti di Aston Villa, dan kemudian Leicester bukan mudah. Saya rasa kami berhak menang,” jelas Arteta.
Begitupun, City hanya menunggu Arsenal melakukan kesilapan untuk memintas, dan semua itu bergantung kepada ketajaman peledak prolifik mereka, Erling Haaland.
Penyerang Norway itu telah menjaringkan 27 gol liga setakat ini, sekali gus mengatasi rekod Sergio Aguero sebagai penjaring terbanyak City dalam liga untuk satu musim.
“Kami akan terus bersaing merebut gelaran. Pencabar kami (Arsenal) sangat hebat tapi apa sahaja boleh berlaku menuju ke penghujung musim,” kata pengurus City, Pep Guardiola.
Jaringan Julian Alvarez, Haaland, Phil Foden dan gol sendiri, Chris Mepham memastikan tiga mata diraih City.
The Citizens akan berdepan cabaran getir Newcastle di Etihad dalam aksi liga seterusnya, Sabtu ini. – AGENSI