Asia sudah, fokus dunia pula

Asia sudah, fokus dunia pula

PASUKAN remaja perempuan berjaya memenangi Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pencapaian skuad remaja perempuan negara mempertahankan gelaran yang dimenangi mereka buat kali keempat berturut-turut pada Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia 2023 wajar diberi pujian, namun, kejayaan itu diharap tidak terhenti setakat di peringkat benua.

Selepas menundukkan seteru lama, Hong Kong 2-0 pada final, kelmarin, manakala, pasukan lelaki membawa pulang gangsa pada kejohanan di Chennai, India itu, pendedahan sewajarnya perlu diberikan kepada para pemain agar mereka dapat terus berkembang untuk bergelar bintang handalan dunia satu hari kelak.

Untuk mengulangi pencapaian luar biasa yang dilakar legenda skuasy negara, Datuk Nicol David bergelar pemain No. 1 dunia selama 109 bulan memanglah sukar, tetapi Malaysia sekurang-kurangnya perlu terus kekal relevan di pentas dunia.

Justeru, pencapaian yang dipamerkan oleh Aira Azman, J. Yasshmita, Whitney Isabelle Wilson dan Doyce Lee itu diharap tidak hanya dipamerkan di benua Asia, tetapi, ia perlu diteruskan secara konsisten di peringkat lebih tinggi.

Cabaran itu bukan satakat kepada pemain perempuan, tetapi turut perlu digalas bersama barisan pemain lelaki yang terdiri daripada Harith Danial Jefri, Shamiel Haeyzad Sharulhisam, Low Wa Sern dan Hi Jia Rong.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Mejar (B) S. Maniam ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, para pemain beraksi sangat baik, kelmarin, dengan Aira membuka permainan penuh yakin dan berjaya menguasai final untuk menghadiahkan mata pertama Malaysia.

“Yasshmita pula yang turun selepas itu, diberi tentangan sengit, dia dan pencabarnya (Toby Tse) kelihatan keletihan, tetapi Yasshmita mempamerkan kekuatan mental cukup baik akhirnya muncul sebagai pemenang,” katanya.

Beliau yang gembira dengan pencapaian barisan pemain remaja negara memberitahu, kejayaan skuad perempuan menewaskan Hong Kong 2-0, membolehkan Malaysia mempertahankan gelaran buat kali keempat berturut-turut, manakala, pasukan lelaki memperoleh pingat gangsa.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Andrew Cross turut senada dengan Maniam apabila menyifatkan anak-anak buahnya mempamerkan prestasi yang sangat baik dalam perlawanan akhir.

“Aira bangkit daripada kekalahan pada separuh akhir dan mempamerkan persembahan mantap, dia bermula baik, walaupun, lawan cuba bangkit dalam set kedua dan ketiga,” ujarnya.

Menurut jurulatih kelahiran England itu, Yasshmita pula diberi tentangan sengit oleh Toby sehingga dipaksa bermain dalam lima set, namun, pemain berusia 18 tahun itu berjaya mengawal permainan sehingga ke hujung aksi.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya