MANCHESTER: Pep Guardiola kurang senang dengan sebahagian besar pesaing Manchester City dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas pasukannya berdepan lebih 100 pertuduhan melanggar peraturan kewangan.
City didakwa atas 115 pertuduhan berkaitan penyediaan maklumat kewangan dan gagal mematuhi peraturan Kewangan Fair Play (FFP) badan bola sepak Eropah, UEFA dari musim 2013-2014 hingga 2017-2018.
Kelab itu juga gagal mematuhi peraturan EPL mengenai keuntungan dari musim 2015-2016 hingga 2017-2018.
Jika didapati bersalah senario terburuk boleh berlaku, mereka ditendang keluar dari liga utama bola sepak England itu.
Guardiola turut memetik nama Pengerusi Tottenham, Daniel Levy sebagai antara individu yang lantang mahu menyingkirkan City daripada Liga Perdana bersama beberapa kelab utama lain.

Bagaimanapun dia menegaskan, pasukannya tidak bersalah sehingga dibuktikan.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu turut mendedahkan, sembilan kelab besar, diketuai Manchester United, Liverpool dan Arsenal mahu menyingkirkan mereka dari Liga Juara-Juara tiga tahun lalu.
Pada 2020, City memenangi rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan selepas dikenakan larangan oleh panel bebas Badan Kawalan Kewangan Kelab UEFA kerana melebih-lebihkan hasil tajaan antara tahun 2012 dan 2016.
“Ketika ini, kami berada dalam keadaan amat hina. Apa yang berlaku minggu ini sama seperti ketika kes UEFA, di mana kami dikutuk, dituduh dan kemudian berdepan dakwaan.
“Semua 19 kelab dalam Liga Perdana menuduh kami tanpa memberi ruang kepada kami untuk mempertahankan diri.
“Dalam setiap kenyataan dikeluarkan dan diterangkan oleh kelab, pemilik, pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), serta orang-orang saya sejak tiga atau empat tahun lalu, anda akan tahu saya berada di pihak yang mana,” jelas Guardiola.

Dalam masa sama, Guardiola tidak goyah seandainya City disabitkan dengan kesalahan itu dan terpaksa diturunkan beraksi di liga bawahan kerana percaya pasukannya mampu bangkit semula.
“Apa yang bakal berlaku, saya tidak tahu. Secara peribadi, saya gembira kerana kami berada dalam keadaan ini adalah disebabkan UEFA, jadi kami berpeluang mempertahankan diri.
“Saya rasa kami mempunyai barisan peguam yang bagus, tetapi saya tidak pula mengatakan UEFA mempunyai peguam yang tidak bagus.
“Liga Perdana Inggeris yang disokong oleh 19 pasukan bakal mempunyai peguam yang terbaik untuk mempertahankan kedudukan mereka, seperti mana kami akan mempertahankan kedudukan kami.
“Hanya masa akan menentukan apa yang bakal terjadi. Sekiranya kami bersalah, saya tetap akan menerima apa sahaja keputusan yang ditentukan oleh pihak hakim serta Liga Perdana Inggeris,” kata Guardiola. – AGENSI