Selepas hampir dilupakan, Hadi mahu cipta impak bersama Perak

Selepas hampir dilupakan, Hadi mahu cipta impak bersama Perak

HADI Fayyadh Abdul Razak bersedia menyerlahkan kemampuan sebenarnya apabila menyarung jersi Perak FC dalam Liga Malaysia musim ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas agak tenggelam dan hampir dilupakan sepanjang empat tahun berkelana di Jepun, penyerang muda, Hadi Fayyadh Abdul Razak mahu memberi impak besar apabila kembali ke kancah Liga Malaysia (Liga M) bersama Perak FC.

Perak menjadi kelab keduanya selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) dan misinya kembali ke Liga M adalah untuk meraih pencapaian yang lebih baik selepas menimba pengalaman di Jepun sejak 2019.

Salah satunya sasaran Hadi ialah mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan kerana dia sedar hadir selaku penyerang adalah penting untuk memperkuatkan barisan hadapan pasukan.

Bagaimanapun, pemain berumur 23 tahun ini sedar perjalanannya tidak akan mudah dan sudah pasti akan mengambil masa untuknya berada di tahap yang diinginkan selain percaya dia kini di landasan tepat bersama Perak.

“Saya percaya rezeki ada di mana-mana dan saya nampak kesungguhan Perak yang inginkan khidmat saya. Kesungguhan dan harapan jurulatih, Lim Teong Kim juga membuatkan saya rasa dihargai.

“Peluang tidak datang selalu dan sekarang peluang untuk saya kembali ke Malaysia dan bermain dengan Perak. Saya percaya dengan barisan kejurulatihan di Perak, ia dapat membantu saya melakukan lebih baik musim ini.

“Sudah tentu sasaran saya adalah untuk menjaringkan gol dan ingin menjadi penyerang terbaik tetapi, semuanya perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan saya juga kena menunjukkan contoh yang baik kepada pasukan dan rakan-rakan lain,” jelasnya.

Mengulas mengenai prestasinya ketika bersama Fagiano Okayama dan Azul Claro Numazu di Jepun, Hadi menyifatkan dia telah berusaha sebaik mungkin untuk belajar sesuatu di sana meskipun kurang minit permainan.

“Bagi saya, orang tidak tahu apa yang saya lalui di sana (Jepun) dan apa yang mereka nampak adalah hanya satu peratus sahaja. Berada di negara orang bukan suatu yang mudah tetapi, saya tahu saya telah melakukan yang terbaik selepas empat tahun.

“Sebab itu saya harap tahun ini akan menjadi yang terbaik untuk saya membuktikan sesuatu tetapi sudah tentu ianya akan mengambil masa, namun saya percaya dengan suasana dan bimbingan di sini, saya boleh melakukannya,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya