Sains FC optimis bentuk pasukan mantap hadapi Liga M3 - Utusan Malaysia

Sains FC optimis bentuk pasukan mantap hadapi Liga M3

MISLAN Miskam (dua dari kiri) dan Mohamad Afif (dua dari kanan) bersalaman pada Majlis Menandatangani MoU antara Sains FC dan Run RMB yang diadakan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kelab bola sepak Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains FC) optimis dapat memberikan saingan terbaik dalam aksi Liga M3 musim 2023 yang akan bermula pada bulan hadapan.

Presiden Sains FC, Mislan Miskam berkata, dengan liga berkenaan yang sudah meningkat kepada liga separuh profesional ditambah dengan beberapa pasukan baharu beliau menjangkakan saingan untuk musim ini lebih sengit.

Sehubungan itu pihaknya meletakkan sasaran lebih realistik iaitu untuk terus kekal beraksi di liga berkenaan.

“Kami juga belum pasti berapakah jumlah pasukan yang akan bersaing sama ada 14 atau 16 pasukan. Sekurang-kurangnya sasaran kami untuk kekal berada dalam Liga M3 ini, jika ada sasaran yang lebih tinggi adalah untuk bersaing di peringkat lebih tinggi.

“Musim lalu kami berada di kedudukan kelima kumpulan A dan gagal untuk memasuki peringkat suku akhir tetapi secara meritnya kami layak untuk beraksi dalam Liga M3 musim ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sains FC dan Run RMB di sini hari ini.

MoU berkenaan merupakan persetujuan antara kedua-dua pihak untuk terlibat bersama-sama dalam menguruskan pasukan berkenaan menghadapi saingan Liga M3.

MISLAN Miskam ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani MoU antara Sains FC dan Run RMB yang diadakan di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Pengurus Sains FC, Mohamad Afif Anuar berkata, seramai 24 orang pemain dijangka akan ditandatangani bagi membawa cabaran pasukan itu dalam saingan musim ini.

“Sesi pemilihan terbuka pemain sedang berlangsung sejak semalam dan ia turut dihadiri beberapa bekas pemain pasukan Negeri Sembilan, namun setakat ini masih belum ada lagi mana-mana pemain yang ditawarkan kontrak.

“Bagaimanapun, berbaki kira-kira sebulan lagi sebelum saingan bermula kami yakin dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap dalam memberi cabaran musim ini,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Liga M3 musim 2023 akan menggunakan format liga dengan dua pasukan teratas akan bermain dalam saingan Liga Super 2024.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya