Safawi tidak sabar mahu pamer kehebatan

Safawi tidak sabar mahu pamer kehebatan

SAFAWI RASID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas diper­kenalkan secara rasmi sebagai ‘senjata’ baharu Ratchaburi FC kelmarin, kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid dijangka memperagakan kemampuan dalam Liga Thailand, Sabtu ini apabila kelabnya melayan kunjungan Khon Kaen United di Stadium Mitr Phol.

Safawi yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) selama semusim percaya, dia tidak akan berdepan masalah menyesuaikan diri dengan permainan serta cuaca kerana segalanya tidak berbeza dengan Malaysia.

Ratchaburi kini menduduki tangga ketiga liga di belakang Buriram United dan Chonburi FC selepas 15 aksi dengan me­ngumpul 29 mata menerusi lapan kemenangan, lima seri dan dua kekalahan.

“Saya tak sabar nak bermain dalam perlawanan pertama Sabtu ini. Terima kasih kepada penyokong Thailand dan Malaysia kerana menyokong saya.

“Liga Thailand adalah yang terbaik di rantau ini (Asia Tenggara) dan saya amat berbangga dapat bermain untuk kelab yang dianggap antara pasukan terbaik di Liga Thailand.

“Bagi saya cuaca sama saja. Tak ada masalah untuk cepat sesuaikan diri, macam saya cakap saya tidak sabar nak ­turun beraksi untuk kelab,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Penyertaan Safawi bersama Ratchaburi merupakan penghij­rahan keduanya ke luar negara selepas sebelum ini pernah ­beraksi di Liga Portugal bersama Portimonense SC pada 2020 lalu.

Dengan kehadiran Safawi, dia akan menjadi pemain Asia Tenggara ketiga yang mengisi slot kelab itu selepas Myo Minn Latt dan Hein Phyo Win dari­ Myan­mar.

Selain Safawi, terdapat tiga lagi pemain negara yang beraksi di Thailand iaitu Dion Cools bersama Buriram United, Liridon Krasniqi dengan Khon Kaen United dan Junior Eldstal yang menyertai PT Prachuap.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN