KUALA LUMPUR: Kim Pan Gon terpukau dengan sokongan hebat yang diberikan lebih 65,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi hingga mendorong Harimau Malaya menumpaskan Singapura 4-1, sekali gus melangkah ke separuh akhir Piala AFF.
Pengendali kelahiran Korea Selatan itu turut memuji persembahan pemainnya yang dianggap antara yang terbaik sejak beliau mengambil alih pasukan.
Kemenangan membolehkan Malaysia muncul naib juara Kumpulan B di belakang Vietnam untuk menempah pertemuan separuh akhir dengan Thailand selaku juara Kumpulan A.
Malaysia akan menerima kunjungan Thailand di Bukit Jalil, Sabtu ini sebelum terbang ke Bangkok untuk aksi timbal balik menentang juara enam kali itu pada Selasa depan.

“Saya sudah nampak semua pemain ini mempunyai bakat dan mereka berjaya menyerlahkan potensi sebenar malam ini. Kita dapat melihat kesungguhan serta semangat mereka di atas padang.
“Saya rasa ini antara persembahan terbaik mereka sejak saya mengambil alih pasukan dan saya sudah menunggu saat ini kerana mereka berusaha bersungguh-sungguh selama lima minggu lalu, berjauhan dari keluarga,” kata Pan Gon dalam sidang akhbar.
Pan Gon turut mengucapkan terima kasih kepada 65,147 penonton yang membanjiri stadium dan mengakui, kehadiran mereka membawa perbezaan kepada pasukan.
“Terima kasih banyak kepada semua penyokong yang hadir malam ini dan memberi semangat kepada kami, saya sangat bangga melihat sokongan yang diberikan oleh mereka.
“Saya sangat hargai sokongan mereka dan tahniah kepada pemain kerana menghiburkan mereka,” katanya.

Dua jaringan Stuart Wilkin dan satu gol masing-masing menerusi Darren Lok serta Sergio Aguero memastikan tiga mata buat Harimau Malaya yang turun dengan misi wajib menang.
Bagi Stuart, sokongan padu penyokong mendorong dia dan rakan-rakan sepasukan bermain dengan amat bersemangat dan berjanji akan menampilkan permainan lebih baik di separuh akhir. – UTUSAN ONLINE