MBS beri keutamaan baiki sistem saliran padang Stadium Paroi - Utusan Malaysia

MBS beri keutamaan baiki sistem saliran padang Stadium Paroi

PENUKARAN rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Seremban dijangka hanya akan dilakukan tahun hadapan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penukaran kepada rumput jenis Zeon Zoysia di padang Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini hanya akan dilaksanakan selepas baik pulih kepada sistem saliran padang tersebut selesai.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Datuk Masri Razali berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam pengurusan stadium itu, kerja pembaikan sistem saliran pada padang tersebut akan diberikan keutamaan ketika ini.

Sehubungan itu menurut beliau, penggantian kepada rumput jenis Zeon Zoysia di stadium tersebut seperti yang dilaporkan dijangka tidak dilaksanakan pada waktu terdekat.

“Berkenaan padang, ada tawaran dari Kementerian Belia dan Sukan (penggantian rumput), ia hanya untuk padang sahaja, kami perlu baiki sistem drainage (saliran) dahulu.

“Ia akan ambil masa sedikit, kalau mahu buat (penggantian rumput) bukan musim ini, bukan dalam masa terdekat. Tetapi keutamaan kami adalah untuk membetulkan saliran.

“Padang sedia ada masih baik cuma kadangkala ada beberapa kawasan padang yang air bertakung dan ia perlu diperbaiki,” katanya di sini semalam.

Baru-baru ini Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Datuk Mohamad Taufek Abdul Ghani berkata, KBS telah bersetuju membantu kerajaan negeri untuk menukar jenis rumput sedia ada di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini kepada rumput jenis Zeon Zoysia. 

Menurut beliau, hasil pertemuannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh baru-baru ini, KBS bersetuju untuk membantu sebanyak 50 peratus kos penukaran rumput manakala 50 peratus lagi ditanggung oleh kerajaan negeri.

 

FASA pertama pemasangan kerusi di tempat duduk penonton Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi Seremban dijangka bermula pada bulan Mac ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Sementara itu, Masri berkata, pihaknya kini dalam proses melantik kontraktor bagi pelaksanaan kerja-kerja pemasangan kerusi di tempat duduk penonton di stadium itu dengan fasa pertama dijangka bermula bulan Mac depan.

Jelas beliau, fasa pertama kerja-kerja pemasangan kerusi dengan kos sebanyak RM1.3 juta hasil pinjaman mudah dari kerajaan negeri itu hanya akan melibatkan teres bawah tempat duduk penonton termasuk di bahagian berbumbung (grandstand).

“Projek ini dijangka akan bermula pada bulan Mac, prosesnya masih di peringkat awal dan kami akan buat secara berperingkat kerana Liga Malaysia akan bermula, oleh itu dalam tempoh berkenaan ada beberapa bahagian tempat duduk penonton akan ditutup.

“Saya lihat ia tidak akan mengganggu kehadiran penonton kerana berdasarkan jumlah kehadiran pada musim lepas, paling tinggi adalah sekitar 20,000 orang jadi ia akan dibuat secara berperingkat,” katanya lagi.

Menurut beliau, pemasangan kerusi bagi tempat duduk penonton itu juga adalah bertujuan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku pengendali Liga Malaysia.

“Bermula musm 2024, semua stadium pasukan yang bertanding kena ada kerusi penonton, itu syarat MFL dan kami kena ikut, dan tiket dijual berdasarkan jumlah kerusi sahaja,” katanya yang juga merupakan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS).-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya